Selamat Datang Ke Laman Ilmu. Mudah-mudahan anda mendapat input yang berguna di sini. Terima Kasih

Wednesday 26 September 2012

Guru Dibenar Berpolitik Oleh : Syafiq Affendi 1.1 Huraian Keratan Akhbar i. Pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos 2010. ii. Perkara ini telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. iii. Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. iv. Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu. v. Syarat-syarat ketat akan dikenakan kepada pemohon agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik. vi. Mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. 1.2 Analisis Keratan Akhbar Berdasarkan keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Januari 2010, kebenaran berpolitik di kalangan kakitangan kerajaan sudah mula dibenarkan dengan golongan guru perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dijadikan pilot projek bagi menilai keberkesanan perkara ini. Peraturan ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung tanpa perlu diperbahaskan di parlimen. Bagi guru-guru yang ingin berpolitik, mereka dikehendaki memohon kebenaran kepada Ketua Setiausaha Kebenaran Malaysia dengan mematuhi beberapa syarat-syarat tertentu yang akan digariskan bagi menjamin tugas utama guru dalam mendidik dan mengajar tidak diabaikan. Dengan diperkenalkan peraturan baru ini, maka timbullah satu isu terkini yang melihat kepada keperluan serta baik buruk guru jika berpolitik. Dalam penulisan ini, perkara mengenai guru berpolitik akan cuba dikupas sebaik mungkin dengan hujah-hujah dan pendapat-pendapat sendiri dan tokoh-tokoh pemimpin dan akademik lain. 2.0 Pendahuluan Menurut Kamus Dewan Edisi Ke 4, politik ialah ilmu berkaitan cara memerintah sesuatu organisasi atau Negara. Politik juga merupakan proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain. Profesion perguruan pula adalah bidang yang memberi perkhidmatan yang unik., tetap dan diperlukan oleh masyarakat. Keunikannya hanya akan dirasai dan diketahui oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini. Hanya warga profesion perguruan sahaja yang berkemampuan memberi perkhidmatan pendidikan terbaik kepada masyarakat yang mana memberi kesan yang besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal setiap insan (Noran Fauziah dan Ahmad Mahdzan, 1993). Langkah membenarkan guru berpolitik bukan perkara baru tetapi diberi nafas baru. Sejarah guru dengan politik bukan perkara yang asing lag. Pejuang-pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union terdiri dari golongan guru yang lulus dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Kalau disebut siapa pemimpin dari lulusan maktab ini, sesungguhnya majoriti adalah dari kalangan guru. Mereka berjuang dan menyinsing lengan mengangkat sepanduk zaman Malayan Union dan bermain dengan tinta meniup semangat kemerdekaan di kalangan rakyat. Kini, guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan. Pejuang seperti Allahyarham Tun Ghafar Baba (mantan Timbalan Perdana Menteri) bukan sahaja dihormati kawan, malah dihormati oleh lawan kerana karisma yang terserlah. Pemimpin agung begini yang ingin kita gali dalam diri guru-guru serata negara ini. Politik dan manusia bukan perkara ganjil lagi. Jika tidak dibenarkan sekalipun, guru tetap akan berpolitik secara sembunyi-sembunyi. Mereka yang berjiwa politik akan tetap menganggotai parti politik walaupun mereka memegang amanah sebagai guru. Pada penulisan ini akan disingkap dan diulas mengenai keperluan guru berpolitik pada masa kini 3.0 Pandangan Tokoh-tokoh Apabila Guru Berpolitik 1. Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia "Saya melihat langkah ini boleh mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air sebab kita hendak guru-guru menyumbang dari segi kepimpinan bersifat keintelektualan di peringkat akar umbi. Mereka ini golongan disegani kerana memiliki kelulusan dan pengetahuan yang lebih daripada kelompok lain dan kepimpinan mereka lebih diterima kerana bersandarkan kepada keilmuan dan kedudukan dalam masyarakat". 2. Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, Tokoh akademik merangkap Chancellor UCSI University “Saya langsung tidak fikir kerana kepentingan politik. Peraturan baru ini merupakan penghormatan kepada golongan guru sekaligus mengisi kekosongan kepimpinan terutama di luar Bandar. Sebaiknya ia diberikan kepada guru siswazah yang terbaik dan prestasi mereka dipantau dari masa ke semasa.” 3. Abdul Karim Abdullah , Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan "Saya khuatir tumpuan sedikit sebanyak terjejas jika guru-guru dibenarkan berpolitik. Ini kerana guru kini sangat berbeza dengan guru zaman dulu. Lagipun, kita tak pasti guru itu prokerajaan atau anti kerajaan, jadi nanti timbul salah faham politik dan pelajar pula yang akan jadi mangsa" 4. Mohamed Sabri Mohamed Arsad, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ''Kalangan guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan. Kebenaran guru berijazah aktif dalam politik merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini mengambil bahagian melontar idea bernas sesuatu dasar negara untuk kebaikan rakyat, agama dan negara,'' 3.1 Analisis Pandangan Tokoh-tokoh Terdapat pelbagai pandangan di kalangan tokoh-tokoh pendidikan tanah air mengenai isu ini. Bagi Perdana Menteri, beliau menyokong hal ini kerana guru menyumbang kepada kepimpinan bersifat intelektual di peringkat akar umbi dan mudah diterima oleh masyarakat. Tan Sri Dr Abdul Rahman Arsyad pula berpendapat ini satu perkembangan yang bagus terutama bagi mengisi jawatan politik di luar Bandar. Mohamed Sabri Mohamed Arsad pula mengganggap ini suatu idea yang bernas untuk kebaikan rakyat, agama dan Negara. Sementara itu Abdul Karim Abdullah pula khuatir tumpuan guru akan terjeja jikalau dibenarkan berpolitik kerana dulu dahulu tidak sama dengan kini. Kesimpulannya setiap tokoh mempunyai pandangan masing-masing dalam hal ini. Keberkesanan membenarkan guru berpolitik boleh dilihat selepas perkara ini dilaksanakan dan kajian menyeluruh juga perlu diadakan. 4.0 Bidang Kerja Guru Kini Tugas guru yang sebenar adalah untuk mengajar dan mendidik anak murid di sekolah. Kini, profesion perguruan telah menjadi salah satu profesion yang mencabar dan amat mendesak. Guru kini diharap mengetahui pengetahuan serba serbi berkaitan tingkah laku manusia dan memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang pendidik yang berkesan. Kesedaran seperti ini telah lama disuarakan sejak tahun 50an di mana di samping mempunyai sifat-sifat diri yang sempurna, guru dikehendaki memainkan pelbagai peranan seperti yang berikut: i. Pengamal Ilmu Dan Kemahiran Pengamal ilmu membawa maksud mencinti, menguasai, sentiasa mencari dan meningkatkan pengetahuan, menggunakan atau mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan. Pendidik yang berjiwa guru menggangap tugas mengajar adalah sesuatu amanah yang diberikan kepadanya untuk berbakti dan bersedia berkongsi ilmu tanpa mengharapkan habuan dan pengiktirafan demi kemajuan bangsa dan negara. ii. Pembimbing Tugas guru bukan sahaja merangkumi aktiviti P&P berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran semata-mata tetapi merangkumi pembentukan akhlak keseluruhan seorang murid. Seorang guru yang berkesan akan memastikan bahawa muridnya menguasai kemahiran yang diperlukan untuk menangani masalah atau cabaran yang mungkin dihadapi dalam kehidupannya. iii. Pembentuk Tingkah Laku Guru merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam proses P&P bersemuka dengan pelajar pada setiap hari persekolah. Guru merupakan model yang sangat penting dalam menyalurkan mesej tentang amalan nilai-nilai, kepercayaan, falsafah dan sikap kepada anak didik mereka. Jika guru mempamerkan perasaan bosan, malas dan tidak bersemangat maka pelajar juga akan meniru perlakuan yang diperhatikannya. Banyak lagi sebenarnya perkara yang menjadi tanggungjawab guru di sekolah. Dewasa ini, semakin banyak perkara yang dikehendaki dimainkan oleh guru. Pengenalan Kurikulum Sepadu Sekolah Rendah (KSSR) menjadikan tugas guru bertambah banyak dengan mereka dikehendaki menyediakan fail-fail pembelajaran bagi murid-murid dan menghantar keputusan peperiksaan menggunakan internet. Selain itu, aktiviti sekolah juga kini semakin bertambah. Jikalau dahulu pertandingan bola sepak hanya diadakan sekali setahun, kini ia melibatkan banyak peringkat pertandingan yang dijalankan sepanjang tahun. Hal ini menjadikan seorang guru itu akan menjadi jurulatih bola sepak sepanjang tahun menyebabkan masa melaksakan tugas utama menjadi kurang. Selain itu, masa persekolah kini telah menjadikan guru berada di sekolah sama seperti waktu pejabat. Waktu petang guru akan mengadakan kelas tambahan atau pun aktiviti yang lain bagi mengisi masa pelajar. Hal ini belum dicampur dengan tugasan guru lagi di dalam menyiapkan rancangan pengajaran, menanda buku latihan, menyediakan kertas peperiksaan dan lain-lain lagi. Kesimpulan yang boleh dibuat disini adalah guru kini sudah mempunyai banyak kerja intuk dilaksanakan. Apabila guru sudah dibenarkan berpolitik pula, nescaya tugas-tugas guru tidak dapat dilaksanakan dengan baik lagi tambahan pula politik turut menuntut masa yang panjang seseorang guru itu. 5.0 Guru Agen Penggerak Masyarakat Tugas guru bukan hanya terikat di dalam sekolah sahaja. Malah, mereka perlu menyumbangkan diri berkhidmat kepada masyarakat setempat. Guru harus turut terlibat dengan aktivititi-aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh komuniti setempat seperti karnival keluarga, ekspedisi mendaki bukit, aktiviti-aktiviti kebudayaan, kelas bimbingan dan seumpamanya. Guru juga mungkin diundang untuk menjadi jurulatih, pengadil, penceramah, pemerhati ataupun tetamu khas dalam majlis tertentu dalam komuniti setempat. Guru boleh menghulurkan khidmat bantuan dari segi sumbangan kepakaran, tenaga, masa dan kewangan untuk menjayakan aktiviti-aktiviti tersebut. Pada masa yang sama, guru berpeluang bersosialisasi dengan ibu bapa, penduduk dan pemimpin setempat dengan lebih dekat dan mendalam. Sebagai contoh guru ini merupakanseorang guru agama. Mereka boleh menyumbang kepada pembangunan masjid dengan menjadi setiausaha atau imam di masjid itu. Dengan jawatan yang disandang, guru itu mempunyai pengetahuan cara untuk memimpin organisasi dan pentadbiran masjid akan menjadi lebih teratur berbanding jika jawatan ini diserahkan kepada bukan ahlinya. Selain itu, jangkaan masyarakat terhadap guru adaalh untuk memainkan peranan dan meningkatkan kualiti corak kehidupan, memelihara dan mengekalkan budaya dan norma yang dianggap baik dalam masyarakat sosial. Oleh itu, amalan nilai murni seperti berbudi bahasa, bersopan santun, prihatin penyayang dan nilai-nilai kemanusian dan menghormati hak asasi orang lain wajar dipamerkan dalam diri seorang guru. Corak dan hidup guru, pertuturan dan penggunaan bahasa, menghormati peraturan dan undang-undang serta respons guru kepada golongan yang kurang bernasib baik merupakan aktiviti sosial yang penting sebagai peranan guru terhadap masyarakat. Kesimpulan di sini, guru walaupun tidak berpolitik, mereka tetap akan memainkan peranan di dalam masyarakat. Malah, mereka akan lebih diyakini kredibiliti mereka apabila memegang jawatan tanpa apa-apa kepentingan berbanding memegang jawatan dalam masa yang sama menganggotai parti-perti politik tertentu. 6.0 Kebaikan Guru Dibenar Berpolitik Setiap apa yang berlaku di dunia ini mempunyai baik buruk tersendiri yang semua itu banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor setempat. Antara kebaikan apabila guru dibenarkan berpolitik adalah guru dapat mempelajari skil mendekati seseorang. Seperti mana yang kita ketahui, ahli politik sentiasa akan mendampingan dengan masyarakat tidak kira tua muda, miskin kaya, sihat sakit dan lain-lain lagi. Untuk menjalinkan hubungan mesra dengan masyarakat, pelbagai skit dan pendekatan dipelajari secara pengalaman. Dengan skil yang diperolehi di lapangan politik itu, guru boleh mengaplikasikan skil ini kepada murid-murid mereka pula. Murid biasanya mempunyai masalah tersendiri dan tidak mengetahui cara untuk menyelesaikannya. Dengan mengaplikasikan skil ini, guru mudah memahami masalah murid mereka. Guru juga akan menjadi tempat luahan masalah dan guru akan turut peka dengan isu-isu sekeliling di dalam kelas. Selain itu, guru yang menceburi di bidang politik ini juga akan berusaha membaiki keterampilan diri dan menampilkan imej dan akhlak yang disenangi oleh semua pihak. Imej yang baik ini akan turut di bawa ke sekolah dengan penampilan yang disenangi oleh warga sekolah seperti percakapan sopan, mudah bercakap di hadapan, memahami sensitiviti seseorang dan lain-lain lagi . Hal ini juga secara tidak langsung akan membentuk personaliti unggul atau towering personality yang pernah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada tahun 2006. Disamping itu, kebenaran kepada guru untuk berpolitik membolehkan seorang guru itu mempunyai hubungan yang luas dengan Agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan serta syarikat swasta. Hubungan ini boleh mendatangkan manfaat yang besar kepada sekolah di mana guru tersebut dapat menggunakan hubungan dengan agensi luar tadi untuk kegunaan sekolah juga seperti mencari tajaan, nasihat perkhidmatan di luar bidang keguruan dan lain-lain lagi. 7.0 Keburukan Guru Dibenar Berpolitik Setiap sesuatu perkara tiada yang sempurna. Begitu juga isu ini, walaupun guru berpolitik banyak memberikan kebaikan, namun terdapat banyak juga keburukan apabila perkara ini dilaksanakan. Antara keburukkannya ialah guru akan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa. Walaupun di awalnya mereka berjanji tidak akan mengabaikan tanggungjawab yang sebagai guru, sebenarnya mereka lebih terdedah untuk lari dari tugas guru. Tugasan politik memerlukan komitmen yang penuh daripada ahlinya. Mereka perlu mengorbankan banyak masa untuk parti. Selepas lama berpolitik, guru itu akan merasakan politik lebih penting kerana di sana terdapat kemewahan dan publisiti yang meluas. Mereka akan merasakan dengan pergi berkempen lebih utama dari masuk ke kelas yang mana mereka menganggap kelashanya melibatkan murid-murid kecil sahaja. Hal ini menjadikan tugasan guru semakin terhakis dari hari ke hari. Selain itu, guru juga akan mudah terpengaruh membawa dakyah mereka kepada kelas. Orang yang berpolitik akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyebarkan fahaman mereka. Kemungkinan guru tidak sempat menyediakan rancangan pengajaran menyebabkan pengajaran akan dimasukkan dengan unsur politik di dalam pengajaran. Selain itu, mereka akan turut terpengaruh untuk berkempen dengan rakan sekerja menyebabkan tugas guru yang banyak itu tidak dapat disiapkan dengan baik. Akhir sekali, guru yang berpolitik boleh menimbulkan pecah belah sesama warga sekolah. Guru yang berfahaman parti A akan berkumpul sesama parti A manakala guru yang parti B akan berkumpul dengan parti B. Hal ini akan melihatkan jurang atau gap yang mana menjadikan aktiviti-aktiviti sekolah sukar dijalankan. Murid juga akan terdedah dengan keburukan seseorang guru itu dan ini menjadikan murid hilang kepercayaan kepada guru menjadikan pengajaran guru itu sukar diterima. 8.0 Kesimpulan Sebagai kesimpulan, pada pendapat saya, guru menjalankan tugas mengajar dan mendidik dan mereka belum lagi sesuai untuk terlibat secara aktif di dalam politik tambahan lagi memegang jawatan-jawatan penting dalam parti. Namun, hal ini tidak bermakna guru hanya kena berfokus kepada sekolah sahaja. Guru seharusnya melibatkan diri di dalam masyarakat setempat dan memegang jawatan-jawatan sosial penting seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dengan menyertai pertubuhan masyarakat ini, isu guru tidak bermasyarakat tidak akan lagi timbul dan peranan guru dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat juga. Jikalau guru itu ingin juga menyertai politik, pastikan mereka tidak memegang jawatan penting dalam parti. Jika jawatan penting juga yang disandang, berfikirlah untuk meletakkan jawatan sebagai guru dan memberikan fokus kepada parti dan politik. Sesungguhnya pendidikan dan politik harus dipisahkan agar tidak membebankan amanah yang disandang oleh seseorang guru itu.

No comments: