Wednesday, 26 September 2012
Guru Dibenar Berpolitik
Oleh : Syafiq Affendi
1.1 Huraian Keratan Akhbar
i. Pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos 2010.
ii. Perkara ini telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
iii. Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
iv. Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
v. Syarat-syarat ketat akan dikenakan kepada pemohon agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.
vi. Mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.
1.2 Analisis Keratan Akhbar
Berdasarkan keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Januari 2010, kebenaran berpolitik di kalangan kakitangan kerajaan sudah mula dibenarkan dengan golongan guru perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dijadikan pilot projek bagi menilai keberkesanan perkara ini. Peraturan ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung tanpa perlu diperbahaskan di parlimen. Bagi guru-guru yang ingin berpolitik, mereka dikehendaki memohon kebenaran kepada Ketua Setiausaha Kebenaran Malaysia dengan mematuhi beberapa syarat-syarat tertentu yang akan digariskan bagi menjamin tugas utama guru dalam mendidik dan mengajar tidak diabaikan. Dengan diperkenalkan peraturan baru ini, maka timbullah satu isu terkini yang melihat kepada keperluan serta baik buruk guru jika berpolitik. Dalam penulisan ini, perkara mengenai guru berpolitik akan cuba dikupas sebaik mungkin dengan hujah-hujah dan pendapat-pendapat sendiri dan tokoh-tokoh pemimpin dan akademik lain.
2.0 Pendahuluan
Menurut Kamus Dewan Edisi Ke 4, politik ialah ilmu berkaitan cara memerintah sesuatu organisasi atau Negara. Politik juga merupakan proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.
Profesion perguruan pula adalah bidang yang memberi perkhidmatan yang unik., tetap dan diperlukan oleh masyarakat. Keunikannya hanya akan dirasai dan diketahui oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini. Hanya warga profesion perguruan sahaja yang berkemampuan memberi perkhidmatan pendidikan terbaik kepada masyarakat yang mana memberi kesan yang besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal setiap insan (Noran Fauziah dan Ahmad Mahdzan, 1993).
Langkah membenarkan guru berpolitik bukan perkara baru tetapi diberi nafas baru. Sejarah guru dengan politik bukan perkara yang asing lag. Pejuang-pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union terdiri dari golongan guru yang lulus dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.
Kalau disebut siapa pemimpin dari lulusan maktab ini, sesungguhnya majoriti adalah dari kalangan guru. Mereka berjuang dan menyinsing lengan mengangkat sepanduk zaman Malayan Union dan bermain dengan tinta meniup semangat kemerdekaan di kalangan rakyat.
Kini, guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan. Pejuang seperti Allahyarham Tun Ghafar Baba (mantan Timbalan Perdana Menteri) bukan sahaja dihormati kawan, malah dihormati oleh lawan kerana karisma yang terserlah. Pemimpin agung begini yang ingin kita gali dalam diri guru-guru serata negara ini.
Politik dan manusia bukan perkara ganjil lagi. Jika tidak dibenarkan sekalipun, guru tetap akan berpolitik secara sembunyi-sembunyi. Mereka yang berjiwa politik akan tetap menganggotai parti politik walaupun mereka memegang amanah sebagai guru. Pada penulisan ini akan disingkap dan diulas mengenai keperluan guru berpolitik pada masa kini
3.0 Pandangan Tokoh-tokoh Apabila Guru Berpolitik
1. Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia
"Saya melihat langkah ini boleh mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air sebab kita hendak guru-guru menyumbang dari segi kepimpinan bersifat keintelektualan di peringkat akar umbi. Mereka ini golongan disegani kerana memiliki kelulusan dan pengetahuan yang lebih daripada kelompok lain dan kepimpinan mereka lebih diterima kerana bersandarkan kepada keilmuan dan kedudukan dalam masyarakat".
2. Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, Tokoh akademik merangkap Chancellor UCSI University
“Saya langsung tidak fikir kerana kepentingan politik. Peraturan baru ini merupakan penghormatan kepada golongan guru sekaligus mengisi kekosongan kepimpinan terutama di luar Bandar. Sebaiknya ia diberikan kepada guru siswazah yang terbaik dan prestasi mereka dipantau dari masa ke semasa.”
3. Abdul Karim Abdullah , Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
"Saya khuatir tumpuan sedikit sebanyak terjejas jika guru-guru dibenarkan berpolitik. Ini kerana guru kini sangat berbeza dengan guru zaman dulu. Lagipun, kita tak pasti guru itu prokerajaan atau anti kerajaan, jadi nanti timbul salah faham politik dan pelajar pula yang akan jadi mangsa"
4. Mohamed Sabri Mohamed Arsad, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB)
''Kalangan guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat yang sentiasa berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan. Kebenaran guru berijazah aktif dalam politik merupakan satu peluang terbaik kepada kelompok ini mengambil bahagian melontar idea bernas sesuatu dasar negara untuk kebaikan rakyat, agama dan negara,''
3.1 Analisis Pandangan Tokoh-tokoh
Terdapat pelbagai pandangan di kalangan tokoh-tokoh pendidikan tanah air mengenai isu ini. Bagi Perdana Menteri, beliau menyokong hal ini kerana guru menyumbang kepada kepimpinan bersifat intelektual di peringkat akar umbi dan mudah diterima oleh masyarakat. Tan Sri Dr Abdul Rahman Arsyad pula berpendapat ini satu perkembangan yang bagus terutama bagi mengisi jawatan politik di luar Bandar. Mohamed Sabri Mohamed Arsad pula mengganggap ini suatu idea yang bernas untuk kebaikan rakyat, agama dan Negara. Sementara itu Abdul Karim Abdullah pula khuatir tumpuan guru akan terjeja jikalau dibenarkan berpolitik kerana dulu dahulu tidak sama dengan kini.
Kesimpulannya setiap tokoh mempunyai pandangan masing-masing dalam hal ini. Keberkesanan membenarkan guru berpolitik boleh dilihat selepas perkara ini dilaksanakan dan kajian menyeluruh juga perlu diadakan.
4.0 Bidang Kerja Guru Kini
Tugas guru yang sebenar adalah untuk mengajar dan mendidik anak murid di sekolah. Kini, profesion perguruan telah menjadi salah satu profesion yang mencabar dan amat mendesak. Guru kini diharap mengetahui pengetahuan serba serbi berkaitan tingkah laku manusia dan memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang pendidik yang berkesan. Kesedaran seperti ini telah lama disuarakan sejak tahun 50an di mana di samping mempunyai sifat-sifat diri yang sempurna, guru dikehendaki memainkan pelbagai peranan seperti yang berikut:
i. Pengamal Ilmu Dan Kemahiran
Pengamal ilmu membawa maksud mencinti, menguasai, sentiasa mencari
dan meningkatkan pengetahuan, menggunakan atau mengaplikasikan ilmu pengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan. Pendidik yang berjiwa guru menggangap tugas mengajar adalah sesuatu amanah yang diberikan kepadanya untuk berbakti dan bersedia berkongsi ilmu tanpa mengharapkan habuan dan pengiktirafan demi kemajuan bangsa dan negara.
ii. Pembimbing
Tugas guru bukan sahaja merangkumi aktiviti P&P berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran semata-mata tetapi merangkumi pembentukan akhlak keseluruhan seorang murid. Seorang guru yang berkesan akan memastikan bahawa muridnya menguasai kemahiran yang diperlukan untuk menangani masalah atau cabaran yang mungkin dihadapi dalam kehidupannya.
iii. Pembentuk Tingkah Laku
Guru merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam proses
P&P bersemuka dengan pelajar pada setiap hari persekolah. Guru merupakan model yang sangat penting dalam menyalurkan mesej tentang amalan nilai-nilai, kepercayaan, falsafah dan sikap kepada anak didik mereka. Jika guru mempamerkan perasaan bosan, malas dan tidak bersemangat maka pelajar juga akan meniru perlakuan yang diperhatikannya.
Banyak lagi sebenarnya perkara yang menjadi tanggungjawab guru di sekolah. Dewasa ini, semakin banyak perkara yang dikehendaki dimainkan oleh guru. Pengenalan Kurikulum Sepadu Sekolah Rendah (KSSR) menjadikan tugas guru bertambah banyak dengan mereka dikehendaki menyediakan fail-fail pembelajaran bagi murid-murid dan menghantar keputusan peperiksaan menggunakan internet. Selain itu, aktiviti sekolah juga kini semakin bertambah. Jikalau dahulu pertandingan bola sepak hanya diadakan sekali setahun, kini ia melibatkan banyak peringkat pertandingan yang dijalankan sepanjang tahun. Hal ini menjadikan seorang guru itu akan menjadi jurulatih bola sepak sepanjang tahun menyebabkan masa melaksakan tugas utama menjadi kurang.
Selain itu, masa persekolah kini telah menjadikan guru berada di sekolah sama seperti waktu pejabat. Waktu petang guru akan mengadakan kelas tambahan atau pun aktiviti yang lain bagi mengisi masa pelajar. Hal ini belum dicampur dengan tugasan guru lagi di dalam menyiapkan rancangan pengajaran, menanda buku latihan, menyediakan kertas peperiksaan dan lain-lain lagi.
Kesimpulan yang boleh dibuat disini adalah guru kini sudah mempunyai banyak kerja intuk dilaksanakan. Apabila guru sudah dibenarkan berpolitik pula, nescaya tugas-tugas guru tidak dapat dilaksanakan dengan baik lagi tambahan pula politik turut menuntut masa yang panjang seseorang guru itu.
5.0 Guru Agen Penggerak Masyarakat
Tugas guru bukan hanya terikat di dalam sekolah sahaja. Malah, mereka perlu menyumbangkan diri berkhidmat kepada masyarakat setempat. Guru harus turut terlibat dengan aktivititi-aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh komuniti setempat seperti karnival keluarga, ekspedisi mendaki bukit, aktiviti-aktiviti kebudayaan, kelas bimbingan dan seumpamanya. Guru juga mungkin diundang untuk menjadi jurulatih, pengadil, penceramah, pemerhati ataupun tetamu khas dalam majlis tertentu dalam komuniti setempat.
Guru boleh menghulurkan khidmat bantuan dari segi sumbangan kepakaran, tenaga, masa dan kewangan untuk menjayakan aktiviti-aktiviti tersebut. Pada masa yang sama, guru berpeluang bersosialisasi dengan ibu bapa, penduduk dan pemimpin setempat dengan lebih dekat dan mendalam. Sebagai contoh guru ini merupakanseorang guru agama. Mereka boleh menyumbang kepada pembangunan masjid dengan menjadi setiausaha atau imam di masjid itu. Dengan jawatan yang disandang, guru itu mempunyai pengetahuan cara untuk memimpin organisasi dan pentadbiran masjid akan menjadi lebih teratur berbanding jika jawatan ini diserahkan kepada bukan ahlinya.
Selain itu, jangkaan masyarakat terhadap guru adaalh untuk memainkan peranan dan meningkatkan kualiti corak kehidupan, memelihara dan mengekalkan budaya dan norma yang dianggap baik dalam masyarakat sosial. Oleh itu, amalan nilai murni seperti berbudi bahasa, bersopan santun, prihatin penyayang dan nilai-nilai kemanusian dan menghormati hak asasi orang lain wajar dipamerkan dalam diri seorang guru. Corak dan hidup guru, pertuturan dan penggunaan bahasa, menghormati peraturan dan undang-undang serta respons guru kepada golongan yang kurang bernasib baik merupakan aktiviti sosial yang penting sebagai peranan guru terhadap masyarakat.
Kesimpulan di sini, guru walaupun tidak berpolitik, mereka tetap akan memainkan peranan di dalam masyarakat. Malah, mereka akan lebih diyakini kredibiliti mereka apabila memegang jawatan tanpa apa-apa kepentingan berbanding memegang jawatan dalam masa yang sama menganggotai parti-perti politik tertentu.
6.0 Kebaikan Guru Dibenar Berpolitik
Setiap apa yang berlaku di dunia ini mempunyai baik buruk tersendiri yang semua itu banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor setempat. Antara kebaikan apabila guru dibenarkan berpolitik adalah guru dapat mempelajari skil mendekati seseorang. Seperti mana yang kita ketahui, ahli politik sentiasa akan mendampingan dengan masyarakat tidak kira tua muda, miskin kaya, sihat sakit dan lain-lain lagi. Untuk menjalinkan hubungan mesra dengan masyarakat, pelbagai skit dan pendekatan dipelajari secara pengalaman. Dengan skil yang diperolehi di lapangan politik itu, guru boleh mengaplikasikan skil ini kepada murid-murid mereka pula. Murid biasanya mempunyai masalah tersendiri dan tidak mengetahui cara untuk menyelesaikannya. Dengan mengaplikasikan skil ini, guru mudah memahami masalah murid mereka. Guru juga akan menjadi tempat luahan masalah dan guru akan turut peka dengan isu-isu sekeliling di dalam kelas.
Selain itu, guru yang menceburi di bidang politik ini juga akan berusaha membaiki keterampilan diri dan menampilkan imej dan akhlak yang disenangi oleh semua pihak. Imej yang baik ini akan turut di bawa ke sekolah dengan penampilan yang disenangi oleh warga sekolah seperti percakapan sopan, mudah bercakap di hadapan, memahami sensitiviti seseorang dan lain-lain lagi . Hal ini juga secara tidak langsung akan membentuk personaliti unggul atau towering personality yang pernah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pada tahun 2006.
Disamping itu, kebenaran kepada guru untuk berpolitik membolehkan seorang guru itu mempunyai hubungan yang luas dengan Agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan serta syarikat swasta. Hubungan ini boleh mendatangkan manfaat yang besar kepada sekolah di mana guru tersebut dapat menggunakan hubungan dengan agensi luar tadi untuk kegunaan sekolah juga seperti mencari tajaan, nasihat perkhidmatan di luar bidang keguruan dan lain-lain lagi.
7.0 Keburukan Guru Dibenar Berpolitik
Setiap sesuatu perkara tiada yang sempurna. Begitu juga isu ini, walaupun guru berpolitik banyak memberikan kebaikan, namun terdapat banyak juga keburukan apabila perkara ini dilaksanakan.
Antara keburukkannya ialah guru akan mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu mengajar dan mendidik anak bangsa. Walaupun di awalnya mereka berjanji tidak akan mengabaikan tanggungjawab yang sebagai guru, sebenarnya mereka lebih terdedah untuk lari dari tugas guru. Tugasan politik memerlukan komitmen yang penuh daripada ahlinya. Mereka perlu mengorbankan banyak masa untuk parti. Selepas lama berpolitik, guru itu akan merasakan politik lebih penting kerana di sana terdapat kemewahan dan publisiti yang meluas. Mereka akan merasakan dengan pergi berkempen lebih utama dari masuk ke kelas yang mana mereka menganggap kelashanya melibatkan murid-murid kecil sahaja. Hal ini menjadikan tugasan guru semakin terhakis dari hari ke hari.
Selain itu, guru juga akan mudah terpengaruh membawa dakyah mereka kepada kelas. Orang yang berpolitik akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyebarkan fahaman mereka. Kemungkinan guru tidak sempat menyediakan rancangan pengajaran menyebabkan pengajaran akan dimasukkan dengan unsur politik di dalam pengajaran. Selain itu, mereka akan turut terpengaruh untuk berkempen dengan rakan sekerja menyebabkan tugas guru yang banyak itu tidak dapat disiapkan dengan baik.
Akhir sekali, guru yang berpolitik boleh menimbulkan pecah belah sesama warga sekolah. Guru yang berfahaman parti A akan berkumpul sesama parti A manakala guru yang parti B akan berkumpul dengan parti B. Hal ini akan melihatkan jurang atau gap yang mana menjadikan aktiviti-aktiviti sekolah sukar dijalankan. Murid juga akan terdedah dengan keburukan seseorang guru itu dan ini menjadikan murid hilang kepercayaan kepada guru menjadikan pengajaran guru itu sukar diterima.
8.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, pada pendapat saya, guru menjalankan tugas mengajar dan mendidik dan mereka belum lagi sesuai untuk terlibat secara aktif di dalam politik tambahan lagi memegang jawatan-jawatan penting dalam parti. Namun, hal ini tidak bermakna guru hanya kena berfokus kepada sekolah sahaja. Guru seharusnya melibatkan diri di dalam masyarakat setempat dan memegang jawatan-jawatan sosial penting seperti yang telah dibincangkan sebelum ini. Dengan menyertai pertubuhan masyarakat ini, isu guru tidak bermasyarakat tidak akan lagi timbul dan peranan guru dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat juga.
Jikalau guru itu ingin juga menyertai politik, pastikan mereka tidak memegang jawatan penting dalam parti. Jika jawatan penting juga yang disandang, berfikirlah untuk meletakkan jawatan sebagai guru dan memberikan fokus kepada parti dan politik. Sesungguhnya pendidikan dan politik harus dipisahkan agar tidak membebankan amanah yang disandang oleh seseorang guru itu.
Tuesday, 18 September 2012
Thursday, 6 September 2012
Beban Tugas Guru
Oleh : Hawa Jamilah Bt Hasani
Guru merupakan insan yang amat berjasa
sehinggakan Usman Awang mengungkapkan kata-kata penghargaan beliau kepada guru
dalam sajak karangan beliau yang bertajuk “Guru Oh Guru”. Tidak ada permulaan
seseorang manusia yang berjaya tanpa kehadiran seorang guru. Perkataan
“ pengorbanan” amat sinonim dengan
guru.Namun, disebalik pengorbanan dan jasa seorang guru, dunia perguruan juga
tidak sunyi dengan kehadiran pelbagai isu yang menarik perhatian masyarakat
untuk diperkatakan dan wajar diambil perhatian agar kebajikan dan
professionalism keguruan dapat dipertingkatkan.
Di era globalisasi yang amat pesat, antara isu yang melingkari bidang
perguruan adalah isu beban tugas guru.Hal ini berlaku kerana kepesatan
perkembangan teknologi menuntut guru untuk bergerak seiringan dengan
perkembangan semasa bagi memastikan apa yang disampaikan sentiasa releven dan
murid yang dididik mampu mendepani perkembangan yang berlaku dipersekitaran
mereka.Guru tidak boleh menjadi seperti “ katak di bawah tempurung,” yang tidak
tahu perkembangan semasa, mengajar dan mendidik pelajar dengan kaedah dan cara
yang lama.
Banyak pihak mengkaji dan memberi pandangan agar isu beban tugas guru
mempunyai jalan keluar agar kebajikan guru lebih terjamin seterusnya
membolehkan mutu pendidikan dapat dilonjakkan ke tahap yang maksimum.Antara
langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan sistem
kerja sembilan jam dalam kalangan guru.Sistem kerja sembilan jam agak asing dalam
bidang perguruan.Terdapat pelbagai pandangan dari masyarakat baik dari mereka
yang terlibat dalam bidang perguruan mahupun yang tidak terlibat secara
langsung dalam bidang ini. Ada yang menyokong perlaksanaan sistem ini dan tidak
kurang juga yang tidak menyokong dengan sistem yang diperkenalkan
ini.Masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri.
Artikel “Cadangan Kerja Sembilan Jam atasi Beban Tugas Guru ?” yang ditulis menggunakan tajuk berbentuk
persoalan kepada pembaca yang disiarkan melalui laman web Berita Harian Online bertarikh
2 Februari 2012 cuba mengetengahkan penolakan NUTP terhadap program perintis
sistem kerja sembilan bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang yang diperkenalkan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bermula Januari 2012 yang melibatkan 5000
orang guru di empat buah negeri di Malaysia Berdasarkan artikel yang ditulis,
NUTP tidak menyetujui program ini dilaksanakan kerana menurut NUTP tugas-tugas
guru sebenarnya tidak tamat selepas waktu persekolahan.
Pendirian NUTP yang diketengahkan oleh penulis ini benar. Hal ini
kerana, walaupun waktu pengajian tamat sekitar 2.40 petang. Tetapi masih terdapat kerja-kerja
yang tidak melibatkan pengajaran dan pembelajaran yang perlu diselesaikan dan
dibawa pulang kerumah untuk disiapkan. Antaranya seperti menanda buku tulis
pelajar yang sememangnya tugas hakiki bagi seorang guru, membuat
laporan-laporan program yang dilaksanakan di sekolah, menanda buku kemajuan
pelajar, kerja-kerja pengkeranian yang
melibatkan panitia, kokurikulum dan sebagainya. Kadangkala kerja-kerja
ini terpaksa dibawa pulang ke rumah oleh guru untuk disiapkan.
Walaubagaimanapun, Kementerian Pelajaran mahu pihak NUTP amnya dan pihak
guru khususnya mengambil pendirian untuk berlapang dada dengan program yang
akan diperkenalkan ini. Hal ini kerana, program ini masih diperingkat projek
rintis yang belum melibatkan dan mewajibkan kepada semua guru di Malaysia.
Program ini masih di peringkat percubaan dan belum lagi muktamad dan keputusan
seterusnya bergantung kepada keputusan dan respon pihak sekolah dan guru-guru
yang terlibat dengan program rintis ini. Pihak NUTP seharusnya memberi peluang
kepada pihak Kementerian Pelajaran melaksanakan program rintis ini dan membuat penilaian
samada sistem kerja sembilan jam ini dapat mengurangkan beban tugas guru atau
menambahkan lagi beban tugas guru kerana terpaksa pulang lewat dan membawa
kerja-kerja sekolah di rumah. Menurut Ka Siong, program ini merupakan sebahagian daripada
usaha untuk menangani isu beban tugas guru yang semakin hangat diperkatakan.
Kenyataan Ka Siong ini disokong oleh kajian yang telah dilakukan
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru. Menurut laporan kajian,
jawatankuasa ini telah menyenaraikan sebelas faktor atau punca berlakunya beban
tugas guru iaitu, tugas rencam yang
tidak berkaitan dengan P&P, Waktu kerja, aktiviti kokurikulum, ekspektasi
stakeholder, persekitaran dan kebajikan, kurusus dalam perkhidmatan (KDP)
pentaksiran, arahan bertindih, bidang tugas, saiz kelas dan penempatan. Berdasarkan
hasil kajian jawatankuasa ini tugas rencam menjadi punca utama yang menyebabkan
timbulnya isu beban tugas guru atau yang menjadi punca utama guru terbeban
dengan pelbagai tugas guru.
Penulis juga menyatakan hanya guru dan mereka yang mempunyai keluarga
yang terlibat dalam bidang guru memahami isu ini.Kenyataan penulis ini benar
kerana terdapat pihak yang mempertikaikan isu beban tugas guru ini
diketengahkan.Kerja-kerja guru tidak seperti sesetengah pekerjaan yang hanya
berfokus dalam jangka masa tertentu dan skop tertentu sahaja. Malah, melibatkan
masa yang tidak menentut dan skop yang pelbagai.Buktinya, pada hari ini, guru
bukan sekadar mengajar dan menyampaikan ilmu di dalam kelas malah kerja-kerja
guru juga melibatkan tugas-tugas diluar bidang tugas mengajar seperti melatih
murid untuk pertandingan persembahan, mengiring pelajar ke
pertandingan-pertandingan, menjadi jawatankuasa dalam program-program yang
pelbagai. Tidak mustahil guru juga menjadi tukang masak, mengurus teknikal
dalam program dan sebagainya. Terdapat juga guru yang bertugas mengagih-agihkan
makanan setiap pagi kepada murid dalam program RMT, dan ada juga guru yang
bertugas di pagar sekolah memastikan pengawas dan murid bertugas dengan baik
dan hadir awal ke sekolah. Situasi-situasi ini menunjukkan betapa skop bidang
tugas guru tidak ada sempadan, tidak seperti sesetengah profesion yang lain.
Sebagai kesinambungan kenyataan beban tugas guru hanya difahami oleh
guru dan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam bidang ini, penulis
mengetengahkan tujuh punca berlakunya masalah beban tugas guru. Punca-punca
yang disenaraikan oleh penulis sejajar dengan punca yang telah disenaraikan
oleh Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru. Antara yang diketengahkan
oleh penulis dalam artikel ini ialah
tugas yang tidak terikat dengan waktu persekolahan. Hal ini berlaku
kerana, kadangkala guru dikehendaki mengiringi pelajar, melaksanakan kelas
tambahan atau tuisyen di sekolah.Kadangkala bagi sekolah yang cemerlang dan
menjaga prestasi kelas tambahan dilaksanakan tidak mengira waktu sehingga ada
kelas yang dilaksanakan pada waktu malam lebih-lebih lagi ketika hampir dengan
waktu peperiksaan.
Penulis juga mempunyai pendapat yang sama dengan sumber-sumber yang lain
iaitu membawa kerja sekolah untuk
disiapkan dirumah menjadikan guru terbeban dengan tugasan. Tindakan ini
menyebabkan kebajikan dan hak guru untuk mendapat rehat yang mencukupi setelah
penat bekerja seharian tidak dapat dipenuhi dan menyebabkan perhatian terhadap
keluarga terabai. Punca yang seterusnya ialah membuat kerja yang tidak ada
kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat sekolah, mengikuti program pelbagai peringkat
samada daerah mahupun negeri atau menjadi wakil kepada pentadbir sekolah ,
menyebabkan guru-guru tidak punya banyak waktu berada di sekolah dan memberi
kesan terhadap tugas hakiki guru.
Selain dari mengajar guru juga dikehendaki untuk melakukan tugas-tugas
penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum. Kadangkala mengurus aktiviti
kokurikulum bukanlah satu bebanan bagi sesetengah guru, akan tetapi pengisian
yang perlu diberikan kepada murid sepanjang aktiviti menjadi bebanan kepada
guru. Untuk memberi pengisian ilmu kepada pelajar, guru hendaklah rajin membuat
kajian, rujukan dan pembacaan serta kursus-kursus yang perlu dihadiri yang
melibatkan bidang kokurikulum seperti badan beruniform, sukan dan sebagainya. Amat
malang sekali jika guru ditugaskan untuk menguruskan dan mengendalikan aktiviti
kokurikulum diluar bidang latihan. Sebagai contoh, guru yang selama ini telah
mendapat latihan dalam satu-satu unit beruniform tetapi disebabkan kekangan
tertentu, terpaksa ditugaskan meguruskan unit beruniform yang lain. Keadaan ini
akan menambah bebanan baru kepada guru iaitu belajar sesuatu yang baru.
Aktiviti pelajar bukan sekadar tertumpu disekolah semata-mata. Mereka
juga terlibat dalam aktiviti luaran seperti pertandingan, lawatan, kursus
kepimpinan dan sebagainya. Perjalanan dan pergerakan pelajar-pelajar perlu
diiringi oleh guru bagi memastikan keselamatan murid. Keadaan ini menyebabkan
guru terpaksa mengorbankan masa bukan sekadar masa dirumah malah masa masa P&P
untuk mengiringi pelajar . Menurut artikel ini lagi, bebanan guru bertambah
apabila guru terpaksa menggunakan wang ringgit sendiri untuk mengiring pelajar.
Situasi ini membebankan guru,tambahan pula tidak ada kemudahan bayaran lebih masa dan
tuntutan perbatuan yang juga dicatu. Keadaan bertambah teruk apabila lebihan
masa untuk tugas rasmi tidak boleh diganti
sebagai cuti rehat pada keesokan harinya.
Dalam artikel lain bertajuk “Tugas guru
bertambah akibat banyak arahan.”
Bertarikh 13 Ogos 2012 yang disiarkan dalam laman web Berita Harian
menyatakan NUTP mendedahkan guru menanggung beban kerja berganda akibat wujunya
‘arahan dalam arahan’ yang mana mereka terpaksa melakukan
tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat
berbeza.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng,
berkata senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan
pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa
sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan
pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat
pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama. Keadaan
ini menyebabkan berlakunya bukan sekadar pembaziran tenaga guru malah masa dan
menjejaskan tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya artikel ini juga mengetengahkan beban tugas guru memberi
kesan kepada kesihatan guru seterusnya memberi kesan kepada proses pengajaran
dan pembelajaran pelajar. Berdasarkan artikel yang dipetik dari blog Utusan
bertarikh 24/1/2008 menyatakan bahawa “Guru
yang terlalu terbeban bidang tugasnya dan akibatnya merasa tertekan akan
memberi kesan negatif kepada mutu pendidikan negara. Menurut NUTP lagi, ramai
guru di Malaysia kini menghidap penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit
jantung, malah sedang mendapat rawatan psikiatri kerana semakin tertekan akibat
bebanan tugas yang meningkat.”
Bebanan yang
melampau dengan pelbagai isu pelajar dan isu berkaitan profession yang perlu
dihadapi oleh guru seperti masalah disiplin pelajar, kekurangan guru,
kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan boleh menambahkan
tekanan guru dan boleh menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berhenti atau
bersara awal dari dunia pendidikan.Jika, situasi ini berlarutan dunia
pendidikan akan kekurangan tenaga-tenaga kerja yang berpengalaman dalam dunia
pendidikan. Bukankah ini suatu fenomena yang merugikan dan memberi impak yang
negatif kepada pendidikan negara?
Selain itu, bebanan tugas yang melampau juga boleh kualiti kerja guru
berkurang kerana tidak dapat memberi fokus pada tugasan yang diberikan dengan
baik. Tidak dinafikan ada guru yang mampu memberikan kualiti yang baik walaupun
dibebani dengan pelbagai tugasan. Namun, hanya segelintir sahaja guru yang
mampu melakukan pelbagai tugas dengan baik dalam satu tempoh masa.
Penulis menutup artikel ini dengan memberi keyakinan kepada pembaca
bahawa kerajaan akan mengambil kira kebajikan guru sebelum sistem kerja
sembilan jam ini dilaksanakan si seluruh sekolah di Malaysia. Bukanlah sesuatu
yang senang melaksanakan sesuatu sistem yang baru atau mengubah sistem yang
sedia ada, memerlukan pengkajian yang teliti dan pandangan dari pelbagai pihak
dan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sudah pasti akan
melaksanakan kajian dengan teliti dan mengambil kira pandang dari pelbagai
pihak dan kesannya kepada individu yang terlibat dalam pendidikan iaitu guru
dan pelajar.
Walaubagaimanapun, menurut laporan terbaru Berita Harian bertarikh
25/8/2012 yang bertajuk “Batal Kerja 9
jam” oleh Veena Rusli melaporkan Tan Sri
Muhyidin Yassin telah membatalkan program rintis ini dan tindakan ini telah
melegakan hampir 5000 orang guru yang dijangka terlibat sekiranya program ini
dilaksanakan. Keadaan ini menunjukkan pihak kementerian mengambil kira
pandangan dan suara rakyat.Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan
bahawa “Saya tegaskan kita tidak harus
bebankan guru kerana profesion perguruan ada keistimewaan dan berbeza dengan
perkhidmatan awam lain.”
Cadangan sistem kerja sembilan jam merupakan antara langkah-langkah yang
cuba diambil untuk menangani Isu Beban
tugas guru yang ditimbulkan oleh NUTP kepada Y.A.B Timbalan Perdana Menteri
Pelajaran Malaysia, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin
Haji Mohamad. Yassin pada 30 Mac 2010. Isu ini telah mendapat perhatian yang
sewajarnya dari kementerian hal ini terbukti apabila, Kementerian Pelajaran
Malaysia telah menubuhkan satu
Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG) yang telah
dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom,
merangkap Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Jawatankuasa ini ditubuhkan
bertujuan untuk menyenaraikan tugas dan tanggungjawab guru, mengenalpasti
faktor yang menyebabkan beban tugas guru bertambah dan mencadangkan tindakan
bagi menangani isu yang telah ditimbulkan ini.
Jawatankuasa ini telah berjaya mengenalpasti 14 faktor yang menyumbang
kepada isu beban tugas guru dan JKMIBTG juga telah mencadangkan 28 perakuan
atau langkah-langkah bagi menangani isu ini. Hasil daripada perakuan yang telah
dikenalpasti dapat menangani masalah ini, satu jawatankuasa baru telah ditubuh
iaitu Jawatankuasa Pelaksana Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG)
bagi memastikan perakuan ini dapat direalisasikan. Jawatankuasa ini akan
bermesyuarat sebulan sekali untuk menyemak status perlaksanaan perakuan yang
telah diambil tindakan.
JKMIBTG juga telah melaksanakan kajian dan hasil dapatan awal kajian
telah mengenalpasti beberapa cadangan
yang dapat menangani masalah ini iaitu ujian amali diadakan sekali sahaja
semasa peperiksaan, kecilkan saiz kelas, tambah bilangan guru, mewujudkan
jawatan pembantu bengkel, mengurangkan waktu mengajar, adil dalam agihan
tugasan, mengutamakan kebajikan guru, menyediakan kemudahan yang sesuai
mengikut spesifikasi penjawat awam yang lain, mengurangkan aktiviti hari Sabtu,
menjadikan Cuti rehat Khas hak Guru, mewujudkan jawatan khas kokurikulum,
meningkatkan kerjasama komuniti dan mewujudkan jawatan pembantu guru untuk
kerja-kerja pentadbiran. Hasil daripada kajian tindakan yang dilaksanakan oleh
JKMIBTG satu cadangan tindakan segera untuk menangani masalah beban tugas guru
iaitu dengan mengeluarkan surat siaran untuk bertugas pada hari Sabtu mesti jelas sama ada : hari sabtu minggu 1
dan 3 atau hari Sabtu minggu 2 dan 4.
Beberapa perakauan yang telah diambil tindakan ialah perlaksanaan
aktiviti pada hari Sabtu, Penyediaan Garis Panduan Penggabungan Jawatankuasa,
permohonan KPM untuk menambah jawatan pembantu tadbir, mengurangkan kekerapan
guru keluar, membangunkan Pelan Operasi Latihan, Kursus dalam perkhidmatan
online diperkenalkam, pemansuhan penilaian tahap kecekapan (PTK), dan KPM telah
memohon peruntukan keawangan bagi menampung keperluan khidmat Kumpulan Guru
Simpanan Kebangsaan dan Guru Sandaran tak Terlatih.
Berkaitan Isu Beban tugas guru yang diketengahkan oleh pihak NUTP
terdapat pelbagai pandangan oleh masyarakat terdapat individu yang menyokong
tentang isu ini diketengahkan oleh NUTP dan tidak gurang juga yang tidak
bersetuju. Malah, apa yang menarik terdapat individu yang merupakan seorang
guru tidak bersetuju isu ini diketengahkan. Misalnya, dalam satu artikel Utusan
Malaysia bertarikh 8/2/2011 yang ditulis oleh Mokhtar Sabah yang merupakan
seorang guru dari Keningau, Sabah menyatakan bahawa guru sebenarnya tidak
terbeban dengan tugasan seharian guru, akan tetapi guru sendiri yang mencari
kerja luar yang menyebabkan mereka rasa terbeban dan tidak cukupwaktu untu
melaksanakan tugas hakiki mereka sebagai seorang guru dengan baik. Beliau juga
menyenaraikan kerja-kerja atau aktiviti luar yang sering dilaksanakan oleh guru
disekolah antaranya terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi, terlibat dengan
aktiviti luar seperti menyampaikan
ceramah bagi ustaz – ustaz sehingga mengabaikan tugas hakiki mereka,
sibuk dengan kejohanan sendiri bukan untuk pelajar.
Sebenarnya pandangan penulis artikel ini lebih bersifat peribadi dan
pengalaman peribadi beliau.Kerana suasana disekolah berbeza antara sesebuah
sekolah dengan sekolah yang lain mengikut tahap sekolah tersebut. Biasanya guru
yang bertugas di sekolah seperti sekolah kluster dan sekolah berprestasi tinggi
menghadapi pelbagai beban tugas dan lebih banyak aktiviti yang perlu diuruskan
berbeza dengan sekolah biasa yang tugas-tugas lebih mudah berbanding sekolah
bandar dan mempunyai prestasi tinggi.Berdasarkan artikel, didapati penulis
kemungkinan berpengalaman di sekolah-sekolah biasa yang guru-guru diberi
tugasan dan waktu mengajar seperti yang telah ditetapkan yang tidak berlaku di sekolah-sekolah yang
besar dan mempunyai pencapaian yang cemerlang diperingkat masing-masing.
Berdasarkan pembacaan dari pelbagai sumber dan penulisan, guru-guru
memang dibebani dengan pelbagai tugasan.Namun, para guru tetap bersabar dan
cuba melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin demi kebaikan
anak-bangsa.Namun, sekiranya mengganggu tugas-tugas menyampaikan dan memberi
ilmu kepada pelajar, suatu tindakan yang tegas dan langkah yang segera perlu
diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi
mengelakkan masalah ini berterusan yang akan memberi kesan kepada perkembangan
pelajaran murid.
Kesimpulannya, menyedari
peranan guru yang amat besar dan tugasan yang mencabar, para guru dan bakal
guru seharusnya bersedia mempersiapkan diri agar menjadi guru yang mempunyai
daya tahan yang tinggi dan tidak kalah dengan cabaran semasa.Memetik sebahagian
Falsafah Pendidikan Negara iaitu “Pendidikan
di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani”, guru juga sebelum
menjadi sebahagian dari kelompok warganegara yang membentuk insan yang seimbang
dari segi jasmani, emosi dan rohani, perlulah mendidik dan melatih diri sendiri
mempunyai jasmani yang sihat, emosi yang mantap, rohani yang utuh dan intelek
yang sentiasa kehadapan.
Sekolah Dalam Hospital
Sesi Pengajaran & Pembelajaran yang dijalankan di dalam sebuah hospital di Ampang. |
Oleh : Rosshafikah Bt Rosli
Pengenalan
Sekolah Dalam
Hospital (SDH) merupakan satu konsep baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Hal
ini kerana ia menyediakan pendidikan bagi semua kanak- kanak serta remaja yang
menjalani rawatan di hospital. Idea penubuhan Sekolah Dalam Hospital ini telah dicetuskan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul
Rahman, penaung kepada Projek Hati Nurani di bawah kelolaan Yayasan Nurul
Yaqeen. Di antara objektif projek hati nurani adalah untuk membantu menyediakan
pendidikan secara formal dan berstruktur bagi pelajar dan kanak- kanak yang menerima rawatan di hospital.
Perasmian sekolah dalam hospital ini telah dirasmikan
oleh Y.A.B . Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia pada 26 Julai 2011 di Institut
Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. Program SDH ini dilaksanakan menerusi
kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia
dan Yayasan Nurul Yaqeen.
Pada peringkat awal,
tiga buah hospital telah dipilih untuk menjadi perintis program sekolah dalam
hospital ini. Ketiga- tiga buah hospital tersebut ialah Hospital Kuala Lumpur
(HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Pelaksanaan Sekolah dalam Hospital di
Malaysia sememangnya dilihat sebagai pendekatan terbaik yang diambil oleh
kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan negara lebih berkembang maju dan
melalui kitaran pembaharuan seiring dengan kemajuan sistem pendidikan dunia.
Hal ini dikatakan demikian kerana pendekatan sekolah atau pendidikan di
hospital telah diamalkan oleh beberapa buah negara maju, seperti Amerika
Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia, sejak tahun 1930-an.
Sebagai contoh, di Australia, program sekolah
dalam hospital ataupun dikenali sebagai ‘ Hospital School Services’ ini telah dijalankan di beberapa buah hospital
di Australia. Ia bertujuan untuk memberi pendidikan serta sokongan moral kepada
pesakit-pesakit di peringkat sekolah rendah dan menengah. Program SDH di
Malaysia adalah berpandukan kepada program SDH di Australia yang disesuaikan
mengikut konteks Malaysia.
Projek sekolah dalam hospital ini secara
tidak langsung membantu kanak- kanak mendapatkan pendidikan yang sepatutnya
sepanjang mereka menjalani rawatan di hospital. Objektif pelaksanaannya adalah
bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas ketika berada di wad, tidak
tercicir dalam pelajaran dan terus dipelihara selaras dengan matlamat Education
For All di mana ia merupakan hasrat yang diperjuangkan oleh UNESCO (United
Nations Educational Scientific and Cultural Organizations).
Pendidikan untuk Semua (EFA) merupakan inisiatif
daripada pihak UNESCO yang mensasarkan 6 matlamat yang perlu dicapai menjelang
tahun 2015. Matlamat-matlamat tersebut merentas semua peringkat
pendidikan bermula daripada awal kanak-kanak sehinggalah pendidikan sepanjang
hayat pada peringkat dewasa. Keenam-enam matlamat tersebut juga terangkum
di dalam inisiatif utama Rancangan Malaysia ke-10.
Selain itu, di antara objektif utama program
sekolah dalam hospital adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja
yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan
yang berkualiti. Hal ini merupakan tanggungjawab
Kementerian Pelajaran dalam memastikan setiap kanak- kanak di Negara ini
mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka
berada.
Program sekolah dalam hospital ini akan
dibahagikan kepada tiga peringkat persekolahan iaitu peringkat prasekolah,
sekolah rendah dan sekolah menengah. Kanak- kanak berusia antara tiga hingga 18
tahun boleh menyertai program SDH ini. Sukatan pelajaran SDH adalah berteraskan
kepada kurikulum kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah sedia ada
di peringkat sekolah rendah dan menengah dan digunakan secara fleksibel
berdasarkan Akta Pendidikan 1996 dengan kaedah pengajaran serta pembelajaran
disesuaikan mengikut keupayaan pesakit.
Proses pengajaran dan pembelajaran SDH
dilaksanakan secara berkumpulan di kelas dan secara individu di wad. Sesi
pembelajaran di SDH bermula pada jam 10 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang
hingga 4 petang dari hari Isnin hingga
Jumaat. SDH menyediakan dua ruang pembelajaran di tingkat yang sama disediakan
untuk murid sekolah rendah dan menengah dengan kemudahan komputer, ruang santai
untuk pelajar serta ruang menunggu untuk ibu bapa.
Pengajaran dan pembelajaran di SDH berfokus kepada empat subjek teras yang
utama sahaja iaitu Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Sains dan Matematik. Seramai 16 orang guru dan empat orang pembantu
murid telah dipilih untuk menjayakan program rintis sekolah dalam hospital ini. Menurut Nor Zanah
Jamari, Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen,guru- guru ini akan menjalani latihan
selama sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut
Pediatrik HKL bagi menyediakan mereka pengetahuan dan kemahiran asas untuk
menangani kelompok pelajar yang bermasalah kesihatan. Antara contoh pengetahuan
dan kemahiran asas yang akan diperolehi guru adalah kemahiran terapi kaunseling dan psikologi serta kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang akan digunakan untuk sesi
pengajaran dan pembelajaran SDH.
Kewujudan SDH mampu menghilangkan rasa
bimbang para ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka apabila menerima
rawatan di hospital. Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak
mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan. Pelaksanaan SDH
sekurang-kurangnya mengelakkan anak-anak mereka daripada ketinggalan dalam
pelajaran dan seterusnya membantu dalam mengulangkaji pelajaran untuk
peperiksaaan yang bakal dihadapi.
Sementara itu, Menteri
kesihatan Malaysia, Dato Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya sempena Majlis
Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Sekolah Dalam Hospital berkata
penubuhan sekolah dalam hospital adalah satu inisiatif bersama Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Yayasan
Nurul Yaqeen (YNY) terhadap keperluan meneruskan pendidikan kepada murid yang
berada di wad hospital tetapi mempunyai kesediaan untuk belajar.
Perkembangan
Menurut
Ornstein dan Hunkins (2004), pembelajaran tidak boleh dipisahkan dengan
kehidupan seharian kanak-kanak, malah pembelajaran mestilah berdasarkan
keperluan dan minat kanak-kanak. Hal ini seiring dengan pelaksanaan program
sekolah dalam hospital yang mana memberikan peluang kepada kanak- kanak untuk
menimba ilmu pengetahuan secara berterusan walaupun berhadapan dengan masalah
kesihatan. Proses pengajaran dan pembelajaran SDH diubahsuai supaya bersesuaian
dengan keadaan kanak- kanak tersebut di samping memenuhi keperluan mereka
sebagai pelajar.
Sekolah
dalam hospital (SDH) ini merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan
pembelajaran yang berbeza daripada sekolah biasa. Ia merupakan satu bentuk
perkhidmatan pendidikan yang berterusan secara formal dan berstruktur serta
berfokus kepada kesediaan dan keupayaan murid yang sedang menjalani rawatan di
hospital. Pendekatan sekolah dalam hospital adalah berasaskan pendekatan didik
hibur (fun learning) dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif, sekaligus
membantu menghilangkan rasa bosan pelajar apabila perlu mendapat rawatan dalam
tempoh yang lama di hospital. Ia juga menekankan pembelajaran secara santai dan
menyeronokkan.
Didik hibur adalah pendekatan
pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid
seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti
yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran
agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.
Didik Hibur bemaksud
mendidik sambil menghibur. Menurut Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik
sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud
menyenangkan atau menggirangkan hati. Rumusannya
didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan
dan puisi secara sistematik dan terancang.
Pendekatan didik hibur yang digunakan dalam pembelajaran SDH ini seiring
dengan agenda kerajaan yang berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan
transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.Pendekatan didik
hibur diharap berupaya untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran
lebih interaktif serta berpusatkan murid.Dalam situasi sekolah dalam hospital,
pendekatan didik hibur ini diaplikasikan supaya pembelajaran lebih berfokus
kepada murid dan mereka gembira sepanjang mengikuti pembelajaran walaupun
mengalami masalah kesihatan.
Menurut Dr.Zailah Zainudin,
pensyarah cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar terdapat
beberapa ciri pendekatan didik hibur dalam pengajaran. Antaranya ialah :
1.
Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar,
kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
2.
Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti
yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.
3.
Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif,
gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari
berikutnya.
4.
Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai.
Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main
peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting,
arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk
menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
5.
Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian
masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang,
tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada
aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
6.
Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang
penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan
santai.
7.
Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau
berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
8.
Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik
dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
9.
Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam
keadaan terkawal.
10. Aktiviti didik hibur banyak menggunakan
komunikasi melalui bahasa tubuh.
Proses pengajaran dan
pembelajaran yang menggunakan pendekatan didik hibur ini secara tidak langsung
membantu proses rawatan kanak-kanak terbabit. Hal ini kerana mereka dapat
menimba ilmu melalui pendekatan pengajaran yang menyeronokkan, persekitaran
pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna-warni juga merupakan terapi semulajadi bagi pesakit di
hospital. Pendekatan didik hibur ini turut menjadikan konsep pembelajaran lebih
fleksibel dan wujudnya suasana pembelajaran yang lebih interaktif serta
menyeronokkan. Hal ini akan menarik minat murid untuk terlibat aktif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru dan seterusnya
mencapai objektif pembelajaran yang telah ditentukan.
Program sekolah dalam
hospital turut memberi penekanan terhadap peranan guru sebagai pemudahcara
kepada murid untuk belajar. Hal ini dapat difahami melalui keberkesanan kaedah
guru di dalam menyampaikan ilmu kepada murid dalam bentuk yang mudah serta
dapat difahami oleh murid tersebut. Menurut Joyce B & Weil (2003), hasil
pengajaran yang paling penting sekali mungkin adalah meningkatkan kebolehan
murid – murid untuk belajar dengan lebih mudah dan berkesan kelak akibat
perolehan pengetahuan dan kemahiran serta penguasaan proses pembelajaran. Hal
ini bermaksud pembelajaran yang mudah akan memberi kesan yang lebih mendalam
dan mudah difahami oleh murid.
Mook Soon Sang
(2009) mengatakan bahawa sebagai seorang pemudah cara, tugas utama seorang guru
ialah melicinkan segala proses dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Sehubungan dengan ini, guru haruslah menyediakan segala rancangan pengajaran
dan pembelajaran yang sistematik serta alat bantu mengajar yang mencukupi,
memotivasikan murid-murid, menggalakkan murid- murid terlibat aktif dalam
aktiviti pembelajaran dan mewujudkan suasana pembelajaran yang positif supaya
proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar, sistematik
dan teratur.
Sementara itu,
Syed Ismail (2010) menyatakan bahawa sebagai seorang guru, antara kemahiran
yang perlu dikuasai oleh seseorang guru adalah kemahiran pemudah cara. Pemudahcara ialah teknik yang digunakan oleh guru
untuk membantu murid-murid mencapai matlamat pembelajaran melalui
aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan disusun. Guru sebagai pemudah cara
ataupun fasilitator berfungsi untuk
mendidik, membimbing, memujuk, mengukuh, memberikan bantuan dan menolong
murid-murid mencapai matlamat pembelajaran yang dirancangkan melalui satu
proses yang panjang. Justeru, peranan guru sebagai pemudah
cara amat diperlukan dalam menangani murid-murid yang akan meneruskan sesi
pembelajaran di sekolah dalam hospital ini. Hal ini kerana murid-murid tersebut
memerlukan bimbingan serta perhatian khusus daripada guru bagi memastikan
mereka selesa serta mudah mengikuti pembelajaran meskipun menjalani rawatan di
hospital.
Program sekolah dalam
hospital ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pelajar
dan kanak- kanak yang menjalani rawatan
di hospital. Seramai 5371 pelajar dari tiga peringkat persekolahan iaitu
prasekolah, sekolah rendah dan menengah memasuki SDH ketika menerima rawatan di
ketiga- tiga hospital yang menjadi perintis kepada program SDH iaitu Institut
Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan juga Hospital Ampang. (Utusan
Malaysia, 3 Ogos 2012).
Penubuhan SDH
disifatkan sebagai langkah yang harus dipuji oleh para ibu bapa kerana memberi
ruang kepada pesakit muda untuk meneruskan pembelajaran mereka walaupun dalam
keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Kejayaan sekolah
dalam hospital di ketiga- tiga hospital yang menjadi perintis bagi program ini
telah membolehkan pelaksanaan sekolah dalam hospital ini diperluas ke seluruh
enam lagi hospital awam di beberapa buah negeri. Antara hospital yang terlibat
ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Wanita dan
Kanak-kanak Likas (Sabah), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Sultanah
Aminah (Johor), Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (Kelantan) dan
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras (Kuala Lumpur).
Implikasi
Program sekolah dalam hospital ini dilihat satu pendekatan baru yang
digunakan oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia dengan
kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Nurul Yaqeen bagi mengatasi
masalah keciciran pelajar dalam pembelajaran ketika mereka sedang menjalani
rawatan di hospital. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid
Shirlin turut mengatakan bahawa SDH adalah konsep baru di negara dalam
mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar walaupun mereka mendapat rawatan
di hospital.
Terdapat beberapa implikasi positif hasil daripada pelaksanaan program
sekolah dalam hospital ini. Antaranya ialah, pelaksanaaan SDH ini dilihat
sebagai alternatif baru dalam dunia pendidikan untuk menyediakan peluang
pendidikan kepada pelajar yang terpaksa meningggalkan
alam persekolahan berikutan menghadapi masalah kesihatan dan dirawat di
hospital.
Selain itu, program sekolah dalam hospital ini juga merupakan sebahagian
daripada langkah penyembuhan kanak- kanak dari sudut psikologi. Hal ini kerana,
kanak-kanak dapat bermain dan belajar dengan gembira selepas menjalani rawatan
di hospital. Hal ini disokong oleh Dr.Norliza Mohamed Zainudin, Pakar Perunding
Kanan Pediatrik dan Respiratori Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengatakan SDH
adalah sebahagian daripada proses rawatan kanak- kanak. SDH membantu
menyembuhkan penyakit kanak- kanak menerusi proses rawatan yang tidak bersifat
farmaseutikal, sebaliknya menggunakan kaedah psikologi. Setelah tertekan dengan
rawatan penyakit yang diterima di hospital, kanak- kanak dapat bermain dan belajar
dengan kaedah yang menyeronokkan di SDH. Mereka bebas memlih subjek yang ingin
dipelajari sama ada belajar di wad pesakit atau di kelas yang disediakan. Kanak-kanak
juga boleh berkenalan dengan rakan baru serta menghabiskan masa dengan
melakukan aktiviti yang berfaedah sekaligus dapat mengulangkaji pelajaran yang
tertinggal.
Salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk
membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia. Sistem pendidikan Malaysia tidak
hanya tertumpu kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran,
yang mampu bersaing di pasaran kerja global malah untuk membangunkan modal
insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi. Ini
semua dapat dicapai melalui proses pendidikan secara formal di sekolah. Melalui
SDH, pembangunan modal insan masih lagi dapat diteruskan tetapi di luar amalan
persekolahan yang konvensional.Hal ini kerana murid- murid akan diberikan ruang dan peluang menimba
pendidikan selaras dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan meskipun
berada di hospital. Proses pendidikan berjalan seiring dengan pembinaan modal
insan seperti yang telah digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010).
Program sekolah dalam hospital ini dilihat membawa suatu pembaharuan
dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pelaksanaannya membawa banyak manfaat
kepada kanak- kanak yang mempunyai masalah kesihatan dalam menerima pendidikan
yang sewajarnya untuk mereka sepanjang tempoh rawatan di hospital tersebut.
Rumusan dan Cadangan
Secara keseluruhannya, saya sangat bersetuju serta menyokong penuh
program sekolah dalam hospital ini. SDH merupakan usaha kerajaaan dalam menyediakan peluang pendidikan
yang terbaik bagi pelajar yang menjalani rawatan di hospital supaya tidak
ketinggalan di dalam pembelajaran mereka.
Program
sekolah dalam hospital ini merupakan satu inovasi baru dalam dunia pendidikan
di Malaysia bagi memastikan pendidikan untuk pesakit muda ini tidak
disia-siakan sebaliknya diteruskan dengan pelaksanaannya selaras dengan hasrat
Kementerian Pelajaran Malaysia. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri
Pelajaran Malaysia turut menyatakan bahawa program SDH ini merupakan langkah
yang amat bernas dan tepat pada masanya ketika kerajaan berusaha menjadikan
Malaysia tempat tinggal terbaik buat generasi akan datang. Program SDH ini
mendapat sokongan penuh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan yang
masing-masing menyediakan khidmat berkaitan bagi memastikan agenda berkenaan
mencapai kejayaan.
Pelaksanaan program sekolah dalam
hospital ini masih lagi baru dalam
sistem pendidikan di Malaysia. Umumnya, tidak ramai yang mengetahui tentang
kewujudan program seperti ini. Antara cadangan yang boleh dilakukan untuk
program sekolah dalam hospital ini adalah dengan memberi promosi serta hebahan
kepada orang awam tentang pelaksanaan SDH. Hal ini bertujuan untuk memupuk
kesedaran tentang kepentingan pendidikan serta membantu orang awam memahami
dengan lebih mendalam lagi berhubung dengan pelaksanaan program sekolah dalam
hospital ini. Hebahan serta promosi ini juga mungkin boleh digunakan untuk
mendapatkan sokongan serta sumbangan untuk membantu projek SDH ini demi
kelangsungan pendidikan bagi anak- anak yang mendapatkan rawatan di hospital.
Selain itu, Kementerian Pelajaran mungkin boleh menyediakan
latihan-latihan dan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengetahuan serta
kemahiran asas untuk mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran SDH kepada
semua guru. Hal ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal serta
menyediakan tenaga pengajar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan
pembelajaran SDH.
Guru-guru akan dilatih serta akan berkebolehan dalam menguruskan
murid-murid untuk terus belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif serta
meningkatkan lagi motivasi mereka supaya merasa tidak dipinggirkan dalam
pendidikan walaupun mempunyai masalah kesihatan dan menjalani rawatan di hospital.
Kesimpulannya, program sekolah dalam hospital ini masih lagi perlu
kepada penambahbaikan dalam usaha membantu kanak- kanak mendapatkan pendidikan
yang sepatutnya ketika mereka berada di hospital. Badan-badan bukan kerajaan
yang lain turut diseru bersama- sama membantu
usaha murni Kementerian Pelajaran
Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia ini menyediakan
perkhidmatan pembelajaran yang terbaik untuk kanak- kanak ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)