Selamat Datang Ke Laman Ilmu. Mudah-mudahan anda mendapat input yang berguna di sini. Terima Kasih

Thursday 6 September 2012

Beban Tugas Guru

Oleh : Hawa Jamilah Bt Hasani

Guru merupakan insan yang amat berjasa sehinggakan Usman Awang mengungkapkan kata-kata penghargaan beliau kepada guru dalam sajak karangan beliau yang bertajuk “Guru Oh Guru”. Tidak ada permulaan seseorang manusia yang berjaya tanpa kehadiran seorang guru.                                     Perkataan “ pengorbanan” amat  sinonim dengan guru.Namun, disebalik pengorbanan dan jasa seorang guru, dunia perguruan juga tidak sunyi dengan kehadiran pelbagai isu yang menarik perhatian masyarakat untuk diperkatakan dan wajar diambil perhatian agar kebajikan dan professionalism keguruan dapat dipertingkatkan.
  Di era globalisasi yang amat pesat, antara isu yang melingkari bidang perguruan adalah isu beban tugas guru.Hal ini berlaku kerana kepesatan perkembangan teknologi menuntut guru untuk bergerak seiringan dengan perkembangan semasa bagi memastikan apa yang disampaikan sentiasa releven dan murid yang dididik mampu mendepani perkembangan yang berlaku dipersekitaran mereka.Guru tidak boleh menjadi seperti “ katak di bawah tempurung,” yang tidak tahu perkembangan semasa, mengajar dan mendidik pelajar dengan kaedah dan cara yang lama.
  Banyak pihak mengkaji dan memberi pandangan agar isu beban tugas guru mempunyai jalan keluar agar kebajikan guru lebih terjamin seterusnya membolehkan mutu pendidikan dapat dilonjakkan ke tahap yang maksimum.Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan sistem kerja sembilan jam dalam kalangan guru.Sistem kerja sembilan jam agak asing dalam bidang perguruan.Terdapat pelbagai pandangan dari masyarakat baik dari mereka yang terlibat dalam bidang perguruan mahupun yang tidak terlibat secara langsung dalam bidang ini. Ada yang menyokong perlaksanaan sistem ini dan tidak kurang juga yang tidak menyokong dengan sistem yang diperkenalkan ini.Masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri.
   Artikel “Cadangan Kerja Sembilan Jam atasi Beban Tugas Guru ?”  yang ditulis menggunakan tajuk berbentuk persoalan kepada pembaca yang disiarkan melalui laman web Berita Harian Online bertarikh 2 Februari 2012 cuba mengetengahkan penolakan NUTP terhadap program perintis sistem kerja sembilan bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bermula Januari 2012 yang melibatkan 5000 orang guru di empat buah negeri di Malaysia Berdasarkan artikel yang ditulis, NUTP tidak menyetujui program ini dilaksanakan kerana menurut NUTP tugas-tugas guru sebenarnya tidak tamat selepas waktu persekolahan.
    Pendirian NUTP yang diketengahkan oleh penulis ini benar. Hal ini kerana, walaupun waktu pengajian tamat sekitar 2.40  petang. Tetapi masih terdapat kerja-kerja yang tidak melibatkan pengajaran dan pembelajaran yang perlu diselesaikan dan dibawa pulang kerumah untuk disiapkan. Antaranya seperti menanda buku tulis pelajar yang sememangnya tugas hakiki bagi seorang guru, membuat laporan-laporan program yang dilaksanakan di sekolah, menanda buku kemajuan pelajar, kerja-kerja pengkeranian yang  melibatkan panitia, kokurikulum dan sebagainya. Kadangkala kerja-kerja ini terpaksa dibawa pulang ke rumah oleh guru untuk disiapkan.
  Walaubagaimanapun, Kementerian Pelajaran mahu pihak NUTP amnya dan pihak guru khususnya mengambil pendirian untuk berlapang dada dengan program yang akan diperkenalkan ini. Hal ini kerana, program ini masih diperingkat projek rintis yang belum melibatkan dan mewajibkan kepada semua guru di Malaysia. Program ini masih di peringkat percubaan dan belum lagi muktamad dan keputusan seterusnya bergantung kepada keputusan dan respon pihak sekolah dan guru-guru yang terlibat dengan program rintis ini. Pihak NUTP seharusnya memberi peluang kepada pihak Kementerian Pelajaran melaksanakan program rintis ini dan membuat penilaian samada sistem kerja sembilan jam ini dapat mengurangkan beban tugas guru atau menambahkan lagi beban tugas guru kerana terpaksa pulang lewat dan membawa kerja-kerja sekolah di rumah. Menurut Ka Siong,  program ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menangani isu beban tugas guru yang semakin hangat diperkatakan.
   Kenyataan Ka Siong ini disokong oleh kajian yang telah dilakukan Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru. Menurut laporan kajian, jawatankuasa ini telah menyenaraikan sebelas faktor atau punca berlakunya beban tugas  guru iaitu, tugas rencam yang tidak berkaitan dengan P&P, Waktu kerja, aktiviti kokurikulum, ekspektasi stakeholder, persekitaran dan kebajikan, kurusus dalam perkhidmatan (KDP) pentaksiran, arahan bertindih, bidang tugas, saiz kelas dan penempatan. Berdasarkan hasil kajian jawatankuasa ini tugas rencam menjadi punca utama yang menyebabkan timbulnya isu beban tugas guru atau yang menjadi punca utama guru terbeban dengan pelbagai tugas guru.
   Penulis juga menyatakan hanya guru dan mereka yang mempunyai keluarga yang terlibat dalam bidang guru memahami isu ini.Kenyataan penulis ini benar kerana terdapat pihak yang mempertikaikan isu beban tugas guru ini diketengahkan.Kerja-kerja guru tidak seperti sesetengah pekerjaan yang hanya berfokus dalam jangka masa tertentu dan skop tertentu sahaja. Malah, melibatkan masa yang tidak menentut dan skop yang pelbagai.Buktinya, pada hari ini, guru bukan sekadar mengajar dan menyampaikan ilmu di dalam kelas malah kerja-kerja guru juga melibatkan tugas-tugas diluar bidang tugas mengajar seperti melatih murid untuk pertandingan persembahan, mengiring pelajar ke pertandingan-pertandingan, menjadi jawatankuasa dalam program-program yang pelbagai. Tidak mustahil guru juga menjadi tukang masak, mengurus teknikal dalam program dan sebagainya. Terdapat juga guru yang bertugas mengagih-agihkan makanan setiap pagi kepada murid dalam program RMT, dan ada juga guru yang bertugas di pagar sekolah memastikan pengawas dan murid bertugas dengan baik dan hadir awal ke sekolah. Situasi-situasi ini menunjukkan betapa skop bidang tugas guru tidak ada sempadan, tidak seperti sesetengah profesion yang lain.
   Sebagai kesinambungan kenyataan beban tugas guru hanya difahami oleh guru dan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam bidang ini, penulis mengetengahkan tujuh punca berlakunya masalah beban tugas guru. Punca-punca yang disenaraikan oleh penulis sejajar dengan punca yang telah disenaraikan oleh Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru. Antara yang diketengahkan oleh penulis dalam artikel ini ialah  tugas yang tidak terikat dengan waktu persekolahan. Hal ini berlaku kerana, kadangkala guru dikehendaki mengiringi pelajar, melaksanakan kelas tambahan atau tuisyen di sekolah.Kadangkala bagi sekolah yang cemerlang dan menjaga prestasi kelas tambahan dilaksanakan tidak mengira waktu sehingga ada kelas yang dilaksanakan pada waktu malam lebih-lebih lagi ketika hampir dengan waktu peperiksaan.
   Penulis juga mempunyai pendapat yang sama dengan sumber-sumber yang lain iaitu membawa kerja sekolah  untuk disiapkan dirumah menjadikan guru terbeban dengan tugasan. Tindakan ini menyebabkan kebajikan dan hak guru untuk mendapat rehat yang mencukupi setelah penat bekerja seharian tidak dapat dipenuhi dan menyebabkan perhatian terhadap keluarga terabai. Punca yang seterusnya ialah membuat kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas mengajar seperti menghadiri mesyuarat  sekolah, mengikuti program pelbagai peringkat samada daerah mahupun negeri atau menjadi wakil kepada pentadbir sekolah , menyebabkan guru-guru tidak punya banyak waktu berada di sekolah dan memberi kesan terhadap tugas hakiki guru.
  Selain dari mengajar guru juga dikehendaki untuk melakukan tugas-tugas penyeliaan dan bimbingan aktiviti kokurikulum. Kadangkala mengurus aktiviti kokurikulum bukanlah satu bebanan bagi sesetengah guru, akan tetapi pengisian yang perlu diberikan kepada murid sepanjang aktiviti menjadi bebanan kepada guru. Untuk memberi pengisian ilmu kepada pelajar, guru hendaklah rajin membuat kajian, rujukan dan pembacaan serta kursus-kursus yang perlu dihadiri yang melibatkan bidang kokurikulum seperti badan beruniform, sukan dan sebagainya. Amat malang sekali jika guru ditugaskan untuk menguruskan dan mengendalikan aktiviti kokurikulum diluar bidang latihan. Sebagai contoh, guru yang selama ini telah mendapat latihan dalam satu-satu unit beruniform tetapi disebabkan kekangan tertentu, terpaksa ditugaskan meguruskan unit beruniform yang lain. Keadaan ini akan menambah bebanan baru kepada guru iaitu belajar sesuatu yang baru.
  Aktiviti pelajar bukan sekadar tertumpu disekolah semata-mata. Mereka juga terlibat dalam aktiviti luaran seperti pertandingan, lawatan, kursus kepimpinan dan sebagainya. Perjalanan dan pergerakan pelajar-pelajar perlu diiringi oleh guru bagi memastikan keselamatan murid. Keadaan ini menyebabkan guru terpaksa mengorbankan masa bukan sekadar masa dirumah malah masa masa P&P untuk mengiringi pelajar . Menurut artikel ini lagi, bebanan guru bertambah apabila guru terpaksa menggunakan wang ringgit sendiri untuk mengiring pelajar. Situasi ini membebankan guru,tambahan pula  tidak ada kemudahan bayaran lebih masa dan tuntutan perbatuan yang juga dicatu. Keadaan bertambah teruk apabila lebihan masa untuk tugas rasmi  tidak boleh diganti sebagai cuti rehat pada keesokan harinya.  
  Dalam artikel lain bertajuk “Tugas guru bertambah akibat banyak arahan.”  Bertarikh 13 Ogos 2012 yang disiarkan dalam laman web Berita Harian menyatakan NUTP mendedahkan guru menanggung beban kerja berganda akibat wujunya ‘arahan dalam arahan’ yang mana mereka terpaksa melakukan tugasan dalam skop sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza.
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata senario itu berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat jabatan pelajaran negeri (JPN) atau pejabat pelajaran daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama. Keadaan ini menyebabkan berlakunya bukan sekadar pembaziran tenaga guru malah masa dan menjejaskan tanggungjawab mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.

   Seterusnya artikel ini juga mengetengahkan beban tugas guru memberi kesan kepada kesihatan guru seterusnya memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran pelajar. Berdasarkan artikel yang dipetik dari blog Utusan bertarikh 24/1/2008 menyatakan bahawa  “Guru yang terlalu terbeban bidang tugasnya dan akibatnya merasa tertekan akan memberi kesan negatif kepada mutu pendidikan negara. Menurut NUTP lagi, ramai guru di Malaysia kini menghidap penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung, malah sedang mendapat rawatan psikiatri kerana semakin tertekan akibat bebanan tugas yang meningkat.”

   Bebanan yang melampau dengan pelbagai isu pelajar dan isu berkaitan profession yang perlu dihadapi oleh guru seperti masalah disiplin pelajar, kekurangan guru, kekurangan bilik darjah, konflik peranan, kekaburan peranan boleh menambahkan tekanan guru dan boleh menyebabkan guru mengambil keputusan untuk berhenti atau bersara awal dari dunia pendidikan.Jika, situasi ini berlarutan dunia pendidikan akan kekurangan tenaga-tenaga kerja yang berpengalaman dalam dunia pendidikan. Bukankah ini suatu fenomena yang merugikan dan memberi impak yang negatif kepada pendidikan negara?
   Selain itu, bebanan tugas yang melampau juga boleh kualiti kerja guru berkurang kerana tidak dapat memberi fokus pada tugasan yang diberikan dengan baik. Tidak dinafikan ada guru yang mampu memberikan kualiti yang baik walaupun dibebani dengan pelbagai tugasan. Namun, hanya segelintir sahaja guru yang mampu melakukan pelbagai tugas dengan baik dalam satu tempoh masa.
  Penulis menutup artikel ini dengan memberi keyakinan kepada pembaca bahawa kerajaan akan mengambil kira kebajikan guru sebelum sistem kerja sembilan jam ini dilaksanakan si seluruh sekolah di Malaysia. Bukanlah sesuatu yang senang melaksanakan sesuatu sistem yang baru atau mengubah sistem yang sedia ada, memerlukan pengkajian yang teliti dan pandangan dari pelbagai pihak dan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sudah pasti akan melaksanakan kajian dengan teliti dan mengambil kira pandang dari pelbagai pihak dan kesannya kepada individu yang terlibat dalam pendidikan iaitu guru dan pelajar.
   Walaubagaimanapun, menurut laporan terbaru Berita Harian bertarikh 25/8/2012 yang bertajuk  “Batal Kerja 9 jam”  oleh Veena Rusli melaporkan Tan Sri Muhyidin Yassin telah membatalkan program rintis ini dan tindakan ini telah melegakan hampir 5000 orang guru yang dijangka terlibat sekiranya program ini dilaksanakan. Keadaan ini menunjukkan pihak kementerian mengambil kira pandangan dan suara rakyat.Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa  “Saya tegaskan kita tidak harus bebankan guru kerana profesion perguruan ada keistimewaan dan berbeza dengan perkhidmatan awam lain.”
    Cadangan sistem kerja sembilan jam merupakan antara langkah-langkah yang cuba diambil untuk menangani  Isu Beban tugas guru yang ditimbulkan oleh NUTP kepada Y.A.B Timbalan Perdana Menteri Pelajaran Malaysia, merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohamad. Yassin pada 30 Mac 2010. Isu ini telah mendapat perhatian yang sewajarnya dari kementerian hal ini terbukti apabila, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu  Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG) yang telah dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, merangkap Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Jawatankuasa ini ditubuhkan bertujuan untuk menyenaraikan tugas dan tanggungjawab guru, mengenalpasti faktor yang menyebabkan beban tugas guru bertambah dan mencadangkan tindakan bagi menangani isu yang telah ditimbulkan ini.
   Jawatankuasa ini telah berjaya mengenalpasti 14 faktor yang menyumbang kepada isu beban tugas guru dan JKMIBTG juga telah mencadangkan 28 perakuan atau langkah-langkah bagi menangani isu ini. Hasil daripada perakuan yang telah dikenalpasti dapat menangani masalah ini, satu jawatankuasa baru telah ditubuh iaitu Jawatankuasa Pelaksana Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) bagi memastikan perakuan ini dapat direalisasikan. Jawatankuasa ini akan bermesyuarat sebulan sekali untuk menyemak status perlaksanaan perakuan yang telah diambil tindakan.
   JKMIBTG juga telah melaksanakan kajian dan hasil dapatan awal kajian telah mengenalpasti  beberapa cadangan yang dapat menangani masalah ini iaitu ujian amali diadakan sekali sahaja semasa peperiksaan, kecilkan saiz kelas, tambah bilangan guru, mewujudkan jawatan pembantu bengkel, mengurangkan waktu mengajar, adil dalam agihan tugasan, mengutamakan kebajikan guru, menyediakan kemudahan yang sesuai mengikut spesifikasi penjawat awam yang lain, mengurangkan aktiviti hari Sabtu, menjadikan Cuti rehat Khas hak Guru, mewujudkan jawatan khas kokurikulum, meningkatkan kerjasama komuniti dan mewujudkan jawatan pembantu guru untuk kerja-kerja pentadbiran. Hasil daripada kajian tindakan yang dilaksanakan oleh JKMIBTG satu cadangan tindakan segera untuk menangani masalah beban tugas guru iaitu dengan mengeluarkan surat siaran untuk bertugas pada hari Sabtu  mesti jelas sama ada : hari sabtu minggu 1 dan 3 atau hari Sabtu minggu 2 dan 4.
  Beberapa perakauan yang telah diambil tindakan ialah perlaksanaan aktiviti pada hari Sabtu, Penyediaan Garis Panduan Penggabungan Jawatankuasa, permohonan KPM untuk menambah jawatan pembantu tadbir, mengurangkan kekerapan guru keluar, membangunkan Pelan Operasi Latihan, Kursus dalam perkhidmatan online diperkenalkam, pemansuhan penilaian tahap kecekapan (PTK), dan KPM telah memohon peruntukan keawangan bagi menampung keperluan khidmat Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan dan Guru Sandaran tak Terlatih.
   Berkaitan Isu Beban tugas guru yang diketengahkan oleh pihak NUTP terdapat pelbagai pandangan oleh masyarakat terdapat individu yang menyokong tentang isu ini diketengahkan oleh NUTP dan tidak gurang juga yang tidak bersetuju. Malah, apa yang menarik terdapat individu yang merupakan seorang guru tidak bersetuju isu ini diketengahkan. Misalnya, dalam satu artikel Utusan Malaysia bertarikh 8/2/2011 yang ditulis oleh Mokhtar Sabah yang merupakan seorang guru dari Keningau, Sabah menyatakan bahawa guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugasan seharian guru, akan tetapi guru sendiri yang mencari kerja luar yang menyebabkan mereka rasa terbeban dan tidak cukupwaktu untu melaksanakan tugas hakiki mereka sebagai seorang guru dengan baik. Beliau juga menyenaraikan kerja-kerja atau aktiviti luar yang sering dilaksanakan oleh guru disekolah antaranya terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi, terlibat dengan aktiviti luar seperti menyampaikan  ceramah bagi ustaz – ustaz sehingga mengabaikan tugas hakiki mereka, sibuk dengan kejohanan sendiri bukan untuk pelajar.
   Sebenarnya pandangan penulis artikel ini lebih bersifat peribadi dan pengalaman peribadi beliau.Kerana suasana disekolah berbeza antara sesebuah sekolah dengan sekolah yang lain mengikut tahap sekolah tersebut. Biasanya guru yang bertugas di sekolah seperti sekolah kluster dan sekolah berprestasi tinggi menghadapi pelbagai beban tugas dan lebih banyak aktiviti yang perlu diuruskan berbeza dengan sekolah biasa yang tugas-tugas lebih mudah berbanding sekolah bandar dan mempunyai prestasi tinggi.Berdasarkan artikel, didapati penulis kemungkinan berpengalaman di sekolah-sekolah biasa yang guru-guru diberi tugasan dan waktu mengajar seperti yang telah ditetapkan  yang tidak berlaku di sekolah-sekolah yang besar dan mempunyai pencapaian yang cemerlang diperingkat masing-masing.
   Berdasarkan pembacaan dari pelbagai sumber dan penulisan, guru-guru memang dibebani dengan pelbagai tugasan.Namun, para guru tetap bersabar dan cuba melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin demi kebaikan anak-bangsa.Namun, sekiranya mengganggu tugas-tugas menyampaikan dan memberi ilmu kepada pelajar, suatu tindakan yang tegas dan langkah yang segera perlu diambil  oleh Kementerian Pelajaran bagi mengelakkan masalah ini berterusan yang akan memberi kesan kepada perkembangan pelajaran murid.
  Kesimpulannya, menyedari peranan guru yang amat besar dan tugasan yang mencabar, para guru dan bakal guru seharusnya bersedia mempersiapkan diri agar menjadi guru yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan tidak kalah dengan cabaran semasa.Memetik sebahagian Falsafah Pendidikan Negara iaitu Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, guru juga sebelum menjadi sebahagian dari kelompok warganegara yang membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan rohani, perlulah mendidik dan melatih diri sendiri mempunyai jasmani yang sihat, emosi yang mantap, rohani yang utuh dan intelek yang sentiasa kehadapan.

No comments: