Selamat Datang Ke Laman Ilmu. Mudah-mudahan anda mendapat input yang berguna di sini. Terima Kasih

Thursday 6 September 2012

Sekolah Dalam Hospital

Sesi Pengajaran & Pembelajaran yang dijalankan di dalam sebuah hospital di Ampang. 


 Oleh : Rosshafikah Bt Rosli
Pengenalan
Sekolah Dalam Hospital (SDH) merupakan satu konsep baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana ia menyediakan pendidikan bagi semua kanak- kanak serta remaja yang menjalani rawatan di hospital. Idea penubuhan Sekolah Dalam Hospital  ini  telah dicetuskan oleh isteri  Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, penaung kepada Projek Hati Nurani di bawah kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen. Di antara objektif projek hati nurani adalah untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur bagi pelajar dan kanak- kanak  yang menerima rawatan di hospital.  
Perasmian  sekolah dalam hospital ini telah dirasmikan oleh Y.A.B . Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap  Menteri Pelajaran  Malaysia pada 26 Julai 2011 di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. Program SDH ini dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Nurul Yaqeen.
Pada peringkat awal, tiga buah hospital telah dipilih untuk menjadi perintis program sekolah dalam hospital ini. Ketiga- tiga buah hospital tersebut ialah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Pelaksanaan Sekolah dalam Hospital di Malaysia sememangnya dilihat sebagai pendekatan terbaik yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan negara lebih berkembang maju dan melalui kitaran pembaharuan seiring dengan kemajuan sistem pendidikan dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana pendekatan sekolah atau pendidikan di hospital telah diamalkan oleh beberapa buah negara maju, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia, sejak tahun 1930-an.
Sebagai contoh, di Australia, program sekolah dalam hospital ataupun dikenali sebagai ‘ Hospital School Services’  ini telah dijalankan di beberapa buah hospital di Australia. Ia bertujuan untuk memberi pendidikan serta sokongan moral kepada pesakit-pesakit di peringkat sekolah rendah dan menengah. Program SDH di Malaysia adalah berpandukan kepada program SDH di Australia yang disesuaikan mengikut konteks Malaysia.
Projek sekolah dalam hospital ini secara tidak langsung membantu kanak- kanak mendapatkan pendidikan yang sepatutnya sepanjang mereka menjalani rawatan di hospital. Objektif pelaksanaannya adalah bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas ketika berada di wad, tidak tercicir dalam pelajaran dan terus dipelihara selaras dengan matlamat Education For All di mana ia merupakan hasrat yang diperjuangkan oleh UNESCO (United Nations Educational Scientific and Cultural Organizations).
 Pendidikan untuk Semua (EFA) merupakan inisiatif daripada pihak UNESCO yang mensasarkan 6 matlamat yang perlu dicapai menjelang tahun 2015.  Matlamat-matlamat tersebut merentas semua peringkat pendidikan bermula daripada awal kanak-kanak sehinggalah pendidikan sepanjang hayat pada peringkat dewasa.  Keenam-enam matlamat tersebut juga terangkum di dalam inisiatif utama Rancangan Malaysia ke-10.
Selain itu, di antara objektif utama program sekolah dalam hospital adalah untuk memastikan semua kanak-kanak serta remaja yang mendapat rawatan di hospital berpeluang mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. Hal ini merupakan  tanggungjawab Kementerian Pelajaran dalam memastikan setiap kanak- kanak di Negara ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak kira di mana pun mereka berada.
Program sekolah dalam hospital ini akan dibahagikan kepada tiga peringkat persekolahan iaitu peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Kanak- kanak berusia antara tiga hingga 18 tahun boleh menyertai program SDH ini. Sukatan pelajaran SDH adalah berteraskan kepada kurikulum kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah sedia ada di peringkat sekolah rendah dan menengah dan digunakan secara fleksibel berdasarkan Akta Pendidikan 1996 dengan kaedah pengajaran serta pembelajaran disesuaikan mengikut keupayaan pesakit.
Proses pengajaran dan pembelajaran SDH dilaksanakan secara berkumpulan di kelas dan secara individu di wad. Sesi pembelajaran di SDH bermula pada jam 10 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang hingga 4 petang dari  hari Isnin hingga Jumaat. SDH menyediakan dua ruang pembelajaran di tingkat yang sama disediakan untuk murid sekolah rendah dan menengah dengan kemudahan komputer, ruang santai untuk pelajar serta ruang menunggu untuk ibu bapa.
Pengajaran dan pembelajaran  di SDH berfokus kepada empat subjek teras yang utama  sahaja iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Seramai 16 orang guru dan empat orang pembantu murid  telah dipilih  untuk menjayakan program rintis  sekolah dalam hospital ini. Menurut Nor Zanah Jamari, Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen,guru- guru ini akan menjalani latihan selama sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut Pediatrik HKL bagi menyediakan mereka pengetahuan dan kemahiran asas untuk menangani kelompok pelajar yang bermasalah kesihatan. Antara contoh pengetahuan dan kemahiran asas yang akan diperolehi guru adalah kemahiran terapi  kaunseling dan psikologi serta kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang akan digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran SDH.
Kewujudan SDH mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital. Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan. Pelaksanaan SDH sekurang-kurangnya mengelakkan anak-anak mereka daripada ketinggalan dalam pelajaran dan seterusnya membantu dalam mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaaan yang bakal dihadapi.
Sementara itu, Menteri kesihatan Malaysia, Dato Seri Liow Tiong Lai dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Sekolah Dalam Hospital berkata penubuhan sekolah dalam hospital adalah satu inisiatif bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) terhadap keperluan meneruskan pendidikan kepada murid yang berada di wad hospital tetapi mempunyai kesediaan untuk belajar.



Perkembangan
Menurut Ornstein dan Hunkins (2004), pembelajaran tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan seharian kanak-kanak, malah pembelajaran mestilah berdasarkan keperluan dan minat kanak-kanak. Hal ini seiring dengan pelaksanaan program sekolah dalam hospital yang mana memberikan peluang kepada kanak- kanak untuk menimba ilmu pengetahuan secara berterusan walaupun berhadapan dengan masalah kesihatan. Proses pengajaran dan pembelajaran SDH diubahsuai supaya bersesuaian dengan keadaan kanak- kanak tersebut di samping memenuhi keperluan mereka sebagai pelajar.
Sekolah dalam hospital (SDH) ini merupakan satu program pendidikan yang menggunakan pendekatan pembelajaran yang berbeza daripada sekolah biasa. Ia merupakan satu bentuk perkhidmatan pendidikan yang berterusan secara formal dan berstruktur serta berfokus kepada kesediaan dan keupayaan murid yang sedang menjalani rawatan di hospital. Pendekatan sekolah dalam hospital adalah berasaskan pendekatan didik hibur (fun learning) dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif, sekaligus membantu menghilangkan rasa bosan pelajar apabila perlu mendapat rawatan dalam tempoh yang lama di hospital. Ia juga menekankan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan.
Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan.
Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Menurut Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati. Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.
Pendekatan didik hibur yang digunakan dalam pembelajaran SDH ini seiring  dengan agenda kerajaan yang berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.Pendekatan didik hibur diharap berupaya untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid.Dalam situasi sekolah dalam hospital, pendekatan didik hibur ini diaplikasikan supaya pembelajaran lebih berfokus kepada murid dan mereka gembira sepanjang mengikuti pembelajaran walaupun mengalami masalah kesihatan.
 Menurut Dr.Zailah Zainudin, pensyarah cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar terdapat beberapa ciri pendekatan didik hibur dalam pengajaran. Antaranya ialah :
1.    Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.

2.    Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.

3.    Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.

4.    Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.

5.    Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

6.    Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.

7.    Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.

8.    Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik  dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.

9.    Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.
10. Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

Proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan pendekatan didik hibur ini secara tidak langsung membantu proses rawatan kanak-kanak terbabit. Hal ini kerana mereka dapat menimba ilmu melalui pendekatan pengajaran yang menyeronokkan, persekitaran pembelajaran yang tenang, menarik dan berwarna-warni juga  merupakan terapi semulajadi bagi pesakit di hospital. Pendekatan didik hibur ini turut menjadikan konsep pembelajaran lebih fleksibel dan wujudnya suasana pembelajaran yang lebih interaktif serta menyeronokkan. Hal ini akan menarik minat murid untuk terlibat aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru dan seterusnya mencapai objektif pembelajaran yang telah ditentukan.
Program sekolah dalam hospital turut memberi penekanan terhadap peranan guru sebagai pemudahcara kepada murid untuk belajar. Hal ini dapat difahami melalui keberkesanan kaedah guru di dalam menyampaikan ilmu kepada murid dalam bentuk yang mudah serta dapat difahami oleh murid tersebut.  Menurut Joyce B & Weil (2003), hasil pengajaran yang paling penting sekali mungkin adalah meningkatkan kebolehan murid – murid untuk belajar dengan lebih mudah dan berkesan kelak akibat perolehan pengetahuan dan kemahiran serta penguasaan proses pembelajaran. Hal ini bermaksud pembelajaran yang mudah akan memberi kesan yang lebih mendalam dan mudah difahami oleh murid.
Mook Soon Sang (2009) mengatakan bahawa sebagai seorang pemudah cara, tugas utama seorang guru ialah melicinkan segala proses dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan ini, guru haruslah menyediakan segala rancangan pengajaran dan pembelajaran yang sistematik serta alat bantu mengajar yang mencukupi, memotivasikan murid-murid, menggalakkan murid- murid terlibat aktif dalam aktiviti pembelajaran dan mewujudkan suasana pembelajaran yang positif supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar, sistematik dan teratur.
Sementara itu, Syed Ismail (2010) menyatakan bahawa sebagai seorang guru, antara kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang guru adalah kemahiran pemudah cara. Pemudahcara ialah teknik yang digunakan oleh guru untuk membantu murid-murid mencapai matlamat pembelajaran melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan disusun. Guru sebagai pemudah cara ataupun fasilitator  berfungsi untuk mendidik, membimbing, memujuk, mengukuh, memberikan bantuan dan menolong murid-murid mencapai matlamat pembelajaran yang dirancangkan melalui satu proses yang panjang. Justeru, peranan guru sebagai pemudah cara amat diperlukan dalam menangani murid-murid yang akan meneruskan sesi pembelajaran di sekolah dalam hospital ini. Hal ini kerana murid-murid tersebut memerlukan bimbingan serta perhatian khusus daripada guru bagi memastikan mereka selesa serta mudah mengikuti pembelajaran meskipun menjalani rawatan di hospital.
Program sekolah dalam hospital ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pelajar dan kanak- kanak  yang menjalani rawatan di hospital. Seramai 5371 pelajar dari tiga peringkat persekolahan iaitu prasekolah, sekolah rendah dan menengah memasuki SDH ketika menerima rawatan di ketiga- tiga hospital yang menjadi perintis kepada program SDH iaitu Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang dan juga Hospital Ampang. (Utusan Malaysia, 3 Ogos 2012).
Penubuhan SDH disifatkan sebagai langkah yang harus dipuji oleh para ibu bapa kerana memberi ruang kepada pesakit muda untuk meneruskan pembelajaran mereka walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Kejayaan sekolah dalam hospital di ketiga- tiga hospital yang menjadi perintis bagi program ini telah membolehkan pelaksanaan sekolah dalam hospital ini diperluas ke seluruh enam lagi hospital awam di beberapa buah negeri. Antara hospital yang terlibat ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas (Sabah), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Sultanah Aminah (Johor), Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (Kelantan) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras (Kuala Lumpur).






























Implikasi
Program sekolah dalam hospital ini dilihat satu pendekatan baru yang digunakan oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Nurul Yaqeen bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dalam pembelajaran ketika mereka sedang menjalani rawatan di hospital. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut mengatakan bahawa SDH adalah konsep baru di negara dalam mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar walaupun mereka mendapat rawatan di hospital.
Terdapat beberapa implikasi positif hasil daripada pelaksanaan program sekolah dalam hospital ini. Antaranya ialah, pelaksanaaan SDH ini dilihat sebagai alternatif baru dalam dunia pendidikan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar yang  terpaksa meningggalkan alam persekolahan berikutan menghadapi masalah kesihatan dan dirawat di hospital.
Selain itu, program sekolah dalam hospital ini juga merupakan sebahagian daripada langkah penyembuhan kanak- kanak dari sudut psikologi. Hal ini kerana, kanak-kanak dapat bermain dan belajar dengan gembira selepas menjalani rawatan di hospital. Hal ini disokong oleh Dr.Norliza Mohamed Zainudin, Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Respiratori Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang mengatakan SDH adalah sebahagian daripada proses rawatan kanak- kanak. SDH membantu menyembuhkan penyakit kanak- kanak menerusi proses rawatan yang tidak bersifat farmaseutikal, sebaliknya menggunakan kaedah psikologi. Setelah tertekan dengan rawatan penyakit yang diterima di hospital, kanak- kanak dapat bermain dan belajar dengan kaedah yang menyeronokkan di SDH. Mereka bebas memlih subjek yang ingin dipelajari sama ada belajar di wad pesakit atau di kelas yang disediakan. Kanak-kanak juga boleh berkenalan dengan rakan baru serta menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah sekaligus dapat mengulangkaji pelajaran yang tertinggal.
Salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangunkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia. Sistem pendidikan Malaysia tidak hanya tertumpu kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran, yang mampu bersaing di pasaran kerja global malah untuk membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi. Ini semua dapat dicapai melalui proses pendidikan secara formal di sekolah. Melalui SDH, pembangunan modal insan masih lagi dapat diteruskan tetapi di luar amalan persekolahan yang konvensional.Hal ini kerana murid- murid  akan diberikan ruang dan peluang menimba pendidikan selaras dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan meskipun berada di hospital. Proses pendidikan berjalan seiring dengan pembinaan modal insan seperti yang telah digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010).
Program sekolah dalam hospital ini dilihat membawa suatu pembaharuan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pelaksanaannya membawa banyak manfaat kepada kanak- kanak yang mempunyai masalah kesihatan dalam menerima pendidikan yang sewajarnya untuk mereka sepanjang tempoh rawatan di hospital tersebut.














Rumusan dan Cadangan
Secara keseluruhannya, saya sangat bersetuju serta menyokong penuh program sekolah dalam hospital ini. SDH merupakan  usaha kerajaaan dalam menyediakan peluang pendidikan yang terbaik bagi pelajar yang menjalani rawatan di hospital supaya tidak ketinggalan di dalam pembelajaran mereka.
            Program sekolah dalam hospital ini merupakan satu inovasi baru dalam dunia pendidikan di Malaysia bagi memastikan pendidikan untuk pesakit muda ini tidak disia-siakan sebaliknya diteruskan dengan pelaksanaannya selaras dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia. Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran Malaysia turut menyatakan bahawa program SDH ini merupakan langkah yang amat bernas dan tepat pada masanya ketika kerajaan berusaha menjadikan Malaysia tempat tinggal terbaik buat generasi akan datang. Program SDH ini mendapat sokongan penuh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan yang masing-masing menyediakan khidmat berkaitan bagi memastikan agenda berkenaan mencapai kejayaan.
Pelaksanaan program  sekolah dalam hospital ini masih lagi  baru dalam sistem pendidikan di Malaysia. Umumnya, tidak ramai yang mengetahui tentang kewujudan program seperti ini. Antara cadangan yang boleh dilakukan untuk program sekolah dalam hospital ini adalah dengan memberi promosi serta hebahan kepada orang awam tentang pelaksanaan SDH. Hal ini bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan pendidikan serta membantu orang awam memahami dengan lebih mendalam lagi berhubung dengan pelaksanaan program sekolah dalam hospital ini. Hebahan serta promosi ini juga mungkin boleh digunakan untuk mendapatkan sokongan serta sumbangan untuk membantu projek SDH ini demi kelangsungan pendidikan bagi anak- anak yang mendapatkan rawatan di hospital.
Selain itu, Kementerian Pelajaran mungkin boleh menyediakan latihan-latihan dan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengetahuan serta kemahiran asas untuk mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran SDH kepada semua guru. Hal ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal serta menyediakan tenaga pengajar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran SDH.
Guru-guru akan dilatih serta akan berkebolehan dalam menguruskan murid-murid untuk terus belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif serta meningkatkan lagi motivasi mereka supaya merasa tidak dipinggirkan dalam pendidikan walaupun mempunyai masalah kesihatan dan menjalani rawatan di hospital.
Kesimpulannya, program sekolah dalam hospital ini masih lagi perlu kepada penambahbaikan dalam usaha membantu kanak- kanak mendapatkan pendidikan yang sepatutnya ketika mereka berada di hospital. Badan-badan bukan kerajaan yang lain turut diseru bersama- sama membantu  usaha murni  Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia ini menyediakan perkhidmatan pembelajaran yang terbaik untuk kanak- kanak ini.

No comments: